Malaysia Dateline

PRU dalam masa terdekat: Pakar kesihatan pertegas usah ulangi kes PRN Sabah

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman menegaskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sama sekali tidak sesuai dilaksanakan pada waktu terdekat.

Beliau mengingatkan kerajaan atau parti-parti politik yang terlalu mahu PRU-15 diadakan segera tentang lonjakan kes jangkitan Covid-19 susulan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya lihat kefahaman daripada mereka yang bukan di dalam bidang kesihatan dan terlibat dengan politik kadang-kadang mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat kepada masyarakat.

“Saya bagi contoh sekarang apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan rentas negeri, ada yang membuat kenyataan inilah masa sesuai untuk kita mengadakan PRU.

“Padahal, keadaan itu tidak boleh berlaku apabila melihat kepada pola data dan keadaan kita sekarang yang terdedah kepada kluster dan kes baharu Covid-19,” dipetik Astro Awani hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerajaan dan parti-parti politik membuat hala tuju supaya PRU-15 hanya boleh diadakan setahun dan ke atas selepas ini.

“Kita cadangkan supaya kerajaan atau parti-parti politik yang terlalu ingin sangat adakan PRU supaya mempunyai garis masa.

“Jangan adakan (PRU) ketika pandemik kerana ini akan menyukarkan barisan hadapan, PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah jelas menunjukkan perkara ini berlaku.

“Saya rasakan rakyat pun tidak mahu PRU dalam masa terdekat,” tegas Dr. Malina lagi.

Lonjakan mendadak kes Covid-19 berlaku di seluruh negara terutamanya di Sabah selepas PRN diadakan pada 26 September tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga pada 18 Oktober lalu turut mengakui PRN Sabah menyumbang kepada gelombang ketiga penularan Covid-19.

Beliau berpendapat penularan kes berlaku apabila ada pihak yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP).

Bahkan, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
sememangnya daripada awal lagi amat bimbang jika pilihan raya diadakan sama ada ia melibatkan pilihan raya kecil, negeri mahupun umum.