Malaysia Dateline

PRU di musim banjir: Umno sudah terpisah jauh dari realiti kehidupan rakyat, kata Rafizi

Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memperlekehkan risiko dan kesengsaraan rakyat sekiranya PRU15 dipanggil di musim tengkujuh menunjukkan terpisahnya beliau dan Umno dari realiti kehidupan rakyat.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kenyataan Zahid itu membayang seolah-olah Umno lupa kesengsaraan yang dialami rakyat sejak sedekad yang lalu akibat bencana banjir.

Dua kejadian banjir besar di Sri Muda (tahun 2021) dan Baling (tahun ini) tidak pun terkesan kepada pimpinan Umno, apatah lagi untuk menginsafkan mereka bahawa kebajikan rakyat perlu diutamaka, katanya.

Zahid ketika melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN di Stadium Titiwangsa semalam berkata, beliau sanggup redah banjir untuk hadapi pilihan raya.

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding.

“Isyaratnya adalah jelas dan nyata…’top five’ diberikan mandat untuk berbincang tetapi tarikh belum ditetapkan.

“Jangan bincang sahaja…kena cepat jangan tunggu lama-lama kerana penghasut sedang bekerja keras…PRU15 tidak boleh ditunggu-tunggu lagi,” katanya yang dipercayai menekan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub agar diadakan pilihan raya segera. Ismail kelihatan serba tidak kena dalam majlis itu.

“Kenyataan Zahid itu cukup berbeza dengan nada pimpinan Pakatan Harapan dalam temu rapat PH yang berakhir Khamis lalu (15 September 2022),” kata Rafizi.

Salah satu kandungan utama ketetapan yang dicapai dalam temu rapat tersebut ialah agar negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan mengusahakan langkah-langkah bersepadu menangani bencana banjir yang dijangka tiba, termasuklah mengisytiharkan “Kecemasan Bencana Iklim” (climate emergency) untuk mengurangkan musibah kepada rakyat.

Sementara tumpuan kerajaan-kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat, Umno dan pimpinannya menolak ke tepi risiko banjir dalam kegilaan mereka mendesak PRU15 diadakan segera demi mencari kuasa, tambah beliau.

“Keangkuhan sebegini tidak wajar dibiarkan berterusan tanpa ada tindak balas dari rakyat,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, beliau sendiri akan mengusahakan satu pungutan suara rakyat (“public referendum”) untuk menunjukkan kepada Zahid dan UMNO bahawa rakyat mencemuh parti-parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.

Dalam tempoh seminggu dari sekarang, beliau akan melancarkan pungutan suara secara digital dan kempen siap siaga banjir supaya rakyat boleh menyatakan desakan mereka agar kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi banjir.

Tragedi yang berlaku kebelakangan ini yang melibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sepatutnya menjadi iktibar kepada semua parti politik untuk tidak ambil mudah isu perubahan iklim dan bencana alam sekitar yang menimpa rakyat.

“Jika ahli politik seperti Zahid Hamidi masih tidak mengambil iktibar, wajarlah Umno dan pimpinannya disekolahkan untuk mula belajar mengutamakan kebajikan rakyat,” kata beliau.