Malaysia Dateline

PRU Israel 2019: Janji genosid untuk Palestin

Serangan peluru berpandu Zionis ganas membedil Gaza pada awal pagi 26 Ogos lalu. Siangnya pula, pantai Gaza di Khan Younis menerima tembakan amaran dari kapal perang Israel.

Nelayan Gaza dipaksa berlabuh ke pantai. ‘Kehausan’ rejim Zionis belum reda. Hari seterusnya mereka membedil menara pemerhati pejuang Gaza. Mujur, tiada korban dilaporkan.

Bulan Ogos ini menyaksikan peningkatan serangan oleh penjajah Israel terhadap Gaza dan Tebing Barat. Bukan sahaja Palestin, kawasan sempadan Lebanon-Syria juga tidak terlepas dari bedilan roket mereka.

Malah, serangan berani mati dari rakyat Palestin juga tiba-tiba muncul kembali. Ini adalah sebahagian dari kempen politik parti pemerintah negara haram Israel: parti Likud, untuk pilihan raya umum (PRU) 17 September akan datang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu

Mereka menjanjikan sebuah negara yang luas untuk pengikut setia Zionisme. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdepan dengan kritikan apabila beliau dilihat sering ‘mengalah’ dan ‘lemah’ apabila berdepan dengan isu melibatkan Hamas dan Gaza.

Manakala isu rasuah dalam kalangan keluarganya turut menjadi faktor penyumbang jatuhnya populariti beliau. Ahli Parlimen Knesset (nama Parlimen Israel) juga perangka undang-undang parti Likud, Yoav Kisch berkata, “Masalah yang dinamakan Gaza (itu) mesti ditangani dengan yakin dan berhati-hati. Saya amat pasti kita akan menjalankan (suatu) operasi terhadap Gaza,”.

Beliau turut menambah “Soalnya (operasi terhadap Gaza itu) bila,”. Dalam wawancara TV Channel 12 Israel, Perdana Menteri Israel berjanji akan meluaskan pendudukan haram Yahudi di Tebing Barat, Palestin.

Malah, beliau dengan tegas akan mempertahankan lebih 100 pendudukan haram tersebut walaupun ia melanggar undang-undang antarabangsa. Beliau turut berjanji akan menambah sebanyak 300 kawasan pendudukan haram tersebut.

Tahukah maksudnya ‘menambah pendudukan’ haram Yahudi? Bagi menambah pendudukan haram Yahudi, pihak berkuasa Israel akan menceroboh masuk Tebing Barat seterusnya membina penempatan dan kemudahan bagi bangsa Yahudi.

Manakala rakyat Palestin akan dihalau, ditangkap dan dibunuh. Ya, dibunuh. Setakat dua minggu lepas, 24 binaan Palestin diroboh rejim Zionis atas alasan ‘binaan tanpa izin’ bagi membolehkan mereka meneruskan misi.

Manakala sebuah rumah di Jerusalem disita dan penghuninya dihalau untuk didiami oleh keluarga Yahudi. Tahanan tanpa siasatan meningkat dan korban serangan bertalu-talu akhirnya mengorbankan dua nyawa di Gaza setakat Ogos lalu.

Kempen pilihanraya parti Likud ini jelas: untuk menang, rakyat Palestin mesti disembelih. Sungguhpun mendapat saingan dari parti Biru Putih, Benjamin Netanyahu dilihat mampu mengekalkan jawatan seterusnya menubuhkan kerajaan campuran.

 

*Penulis merupakan GROUP PALESTINE ENGLISH (TWITTER @MHBASjam). Ikuti perkembangan terbaru Palestin melalui twitter kami di @GroupPs_English atau carian hashtag #GroupPalestine untuk info dalam bahasa Inggeris dan #قروب_فلسطيني untuk info dalam bahasa Arab.

Melalui penulisan dan kewartawanan, kami menyedia dan menyebarkan berita terkini dari Palestin keseluruh dunia dalam pelbagai bahasa.