PRU: Menyingkap sejarah Pas Perak

PRU: Menyingkap sejarah Pas Perak

Dengan menyingkap sejarah penglibatan Pas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia bermula pada tahun 1986 dengan bertanding sebanyak 28 kerusi Dun daripada 46 kerusi Dun keseluruhannya pada ketika itu.

Pada PRU tersebut, Pas Perak tidak memenangi sebarang kerusi Dun pun setelah berlaku pertembungan dengan Parti DAP sebanyak 11 kerusi Dun dan hilang deposit sebanyak 10 kerusi Dun. Ketika itu, Pas bergerak secara bersendirian dan bertanding paling banyak.

Manakala pada PRU tahun 1990 pula, ketika Pas bersama dengan Parti Semangat 46 di dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pas Perak telah bertanding sebanyak 11 kerusi Dun daripada 46 kerusi Dun keseluruhan namun masih tidak memenangi satu pun kerusi Dun.

Kali ini pertembungan dengan DAP hanya berlaku di satu kerusi Dun sahaja iaitu di Dun Kuala Kurau dan jika digabungkan jumlah undi tersebut akan mengalahkan Barisan Nasional (BN). Pas ketika itu tidak hilang deposit pada PRU tersebut setelah bergabung dengan Parti lain.

Sekali lagi pada PRU tahun 1995 bersama dengan Semangat 46 di dalam APU dengan bertanding sebanyak 21 kerusi Dun daripada 52 kerusi Dun dan masih tidak menang satu kerusi pun. Ketika ini, Pas masih bertembung dengan DAP di satu kerusi sahaja di Dun Kuala Kurau seperti PRU tahun 1990.

Bagi PRU tahun 1999 pula, setelah bersama dengan Parti ADIL dan DAP di dalam Barisan Alternatif (BA) dan bertanding sebanyak 22 kerusi Dun paling banyak antara daripada 52 kerusi Dun dan telah berjaya memenangi tiga kerusi Dun ketika itu setelah permecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi dalam PRU tersebut telah berlaku pertembungan dengan ADIL di satu kerusi Dun iaitu di Dun Kuala Kurau sepertimana pada PRU tahun 1990 dan tahun 1995 dahulu, jika digabungkan jumlah undi tersebut sekali lagi akan mengalahkan BN serta hilang deposit di situ.

Melihat pula PRU pada tahun 2004 dimana keluarnya DAP daripada BA, Pas Perak telah bertanding sebanyak 25 kerusi Dun daripada 59 kerusi Dun dan tidak memenangi satu pun kerusi Dun serta telah bertembung dengan DAP di dua kerusi di Dun Kuala Kurau dan Lintang ketika itu.

Bergerak pula pada PRU tahun 2008 dengan bertanding secara bersendirian dengan perfahaman antara parti, Pas Perak telah bertanding sebanyak 21 kerusi Dun daripada 59 kerusi Dun dan memenangi enam kerusi ketika itu serta telah membentuk Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) bersama KeADILan dan DAP.

Setelah itu pada PRU tahun 2013 pula masih bersama dengan KeADILan dan DAP di dalam PR, telah bertanding sebanyak 22 kerusi Dun daripada 59 kerusi Dun dan berjaya memenangi lima kerusi hasil gabungan tersebut tetapi gagal membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti tiga kerusi DUN sahaja.

Muktamar Pas pada tahun 2017 telah membatalkan kerjasama dalam PR bersama DAP dan akhirnya juga meninggalkan KeADILan dengan bermatlamat bergerak secara bersendirian dan akhirnya membentuk sebuah gabungan atas nama Gagasan Sejahtera (GS) bagi PRU 2018 kali ini.

Pas Perak juga telah mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Dun iaitu 59 kerusi dan Pas Perak memaklumkan telah mempunyai calon di 45 kerusi Dun dengan mensasarkan menang di 30 kerusi Dun pada PRU tahun ini. Persoalannya adakah misi Pas Perak berjaya berdasarkan sejarah dan rekod yang ada?