PRU musim banjir, MCA jangan jadi pak turut Umno

Oleh KIM SYAZIE

Pimpinan Umno kini semakin terdesak sehinggakan mereka terpaksa menyerang badan kehakiman selepas Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan dan bukannya mengutuk rasuah. 

Sebaliknya mereka juga mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan tanpa lengah walaupun terpaksa meredah air banjir kononnya bertujuan untuk memberitahu seluruh dunia bahawa skandal 1MDB bukanlah satu skandal rasuah. 

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno seharusnya menyedari bahawa angka korban akibat banjir tahun lepas adalah 54 nyawa dan ia bukan satu jumlah yang kecil. Manakala jumlah kerugian akibat kerosakan harta benda pula mencecah sejumlah RM6.5 bilion. 

“Setakat ini samada Umno maupun BN belum lagi mengambil pendirian bahawa PRU ke-15 tidak sepatutnya diadakan pada musim tengkujuh maupun musim banjir. 

“Begitu juga dengan MCA turut tidak berani mengambil pendirian yang berbeza. MCA hanya berani berkata mereka mesti bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku.

“Tetapi tidak berani berkata yang bertentangan agar tidak menyinggung kleptokrasi Umno, ” ujar Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Tambah beliau, persoalan yang timbul kini apakah Umno dan BN berani untuk mengambil pendirian bahawa PRU ke-15 tidak sepatutnya diadakan pada musim tengkujuh dan banjir.