PRU14 bakal paling kotor jika isu pengesahan MyKad tidak diselesaikan

PRU14 bakal paling kotor jika isu pengesahan MyKad tidak diselesaikan

Ahli Parlimen Pembangkang menjangkakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bakal menjadi paling kotor jika isu pengesahan MyKad tidak diselesaikan.

Dalam satu kenyataan semalam mereka berkata, menurut laporan Bernama, Dewan Negara telah mendengar bagaimana dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) menyalahguna MyKad untuk mendapat perkhidmatan di hospital-hospital kerajaan.

Ini kerana menurut laporan berkenaan, hospital-hospital kerajaan tidak mempunyai pembaca MyKad (‘card reader’) untuk mengesahkan (“authenticate”) kad-kad pengenalan tersebut.

Kata kenyataan itu, hal ini bukan sahaja amat memeranjatkan, tetapi ia juga menimbulkan keraguan berkaitan proses pilihan raya itu sendiri.

“Pada Sabtu, 24 Mac 2018, wakil-wakil parti Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan telah dijemput menghadiri satu taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dalam sesi taklimat tersebut, SPR telah memaklumkan bahawa dokumen-dokumen pengesahan identiti yang boleh digunapakai termasuklah MyKad, pasport, laporan polis kehilangan MyKad dan lesen memandu.

“Namun, apabila ditanya bagaimana dokumen-dokumen identiti ini boleh disahkan, wakil SPR berkata bahawa tiada sebarang alat pengesahan akan diberikan di setiap saluran mengundi.

“Ini adalah sesuatu yang cukup memeranjatkan dan sangat berbahaya,” kata kenyataan yang dibuat bersama Ahli Parlimen Pagoh (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Lembah Pantai (PKR) Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Serdang (DAP) Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Shah Alam (AMANAH) Khalid Samad dan Ahli Parlimen Penampang (Warisan) Darell Leiking itu.

Katanya, apabila kita saksikan bagaimana hospital kerajaan pun boleh disalahguna PATI kerana tiada alat pengesahan MyKad, bukankah ketiadaan alat pengesahan MyKad, pasport dan lesen memandu di saluran-saluran mengundi memungkinkan dokumen-dokumen palsu disalahguna pengundi-pengundi hantu untuk mengundi?

“Memandangkan isu ini bakal mencemar proses pengundian PRU14, SPR perlu merombak semula ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) dan menjamin penggunaan alat-alat pengesahan MyKad, pasport dan lesen memandu untuk memastikan hanya pengundi yang sah keluar mengundi.

“Jika tidak, sudah pasti PRU14 bakal menjadi PRU paling kotor dalam sejarah Malaysia,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 10.0