PRU14: BN dijangka kekal kuasa dengan majoriti tipis, kata Merdeka Centre

PRU14: BN dijangka kekal kuasa dengan majoriti tipis, kata Merdeka Centre

Barisan Nasional (BN) yakin mengekalkan kuasa persekutuan dalam apa yang disifatkan sebagai pilihan raya yang menyaksikan pertembungan paling banyak penjuru dalam sejarah politik negara, menurut kaji selidik oleh firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center.

Tinjauan mendapati bahawa BN akan memenangi 100 daripada 222 kerusi parlimen dengan 37 kerusi menunjukkan persaingan sengit sementara Pakatan Harapan (PH) dijangka menang 83 kerusi dan PAS hanya tinggal dua kerusi parlimen.

“Berdasarkan dapatan tinjauan dan proses pilihan raya yang berjalan lancar pada 9 Mei 2018, kami mendapati BN mengekalkan kelebihan kerusi yang lebih besar daripada parti yang menjadi saingan, PH and Pas, ” kata Merdeka Center dalam satu kenyataan hari ini.

Merdeka Centre berkata sehingga tengah hari, sokongan pengundi melayu kepada BN ialah 44.3 peratus sementara PH (27.6 peratus) dan PAS (28.1 peratus) manakala sokongan kaum Cina kepada BN ialah 15.8 peratus, PH (84.2 peratus) dan PAS hanya mendapat sokongan daripada sebilangan kecil pengundi.

Kenyataan itu berkata BN juga mendapat sokongan 41.3 peratus masyarakat India sementara PH dan Pas, masing-masing mendapat 56.5 peratus dan 28.1 peratus.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat itu menyatakan keadaan boleh berubah dalam tempoh 12 jam terakhir kempen.

Kaji selidik juga mendapati bahawa tiga isu utama yang dianggap paling penting bagi pengundi ialah kebimbangan ekonomi pada 43 peratus diikuti tadbir urus yang baik (perangi rasuah) pada 21 peratus dan kelemahan kepimpinan pada 8 peratus.

Merdeka Center berkata PRU14 berkisar kepada bantahan pengundi terhadap Cukai barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup, selaras dengan kelemahan tadbir urus.

Isu kos sara hidup dan tadbir urus adalah kebimbangan utama di kalangan pengundi, kata Merdeka Center.

Menurut tinjauan pendapat itu, pengundi Melayu menyatakan kebimbangan tertinggi mengenai isu ekonomi (46 peratus) diikuti isu tadbir urus yang baik (17 peratus) sementara pengundi Cina memberi penekanan yang sama kepada isu ekonomi (37 peratus) dan isu rasuah (35 peratus).

Sementara itu, pengundi kaum India juga juga melahirkan kebimbangan pada tahap tinggi terhadap isu ekonomi (43 peratus) dan menekankan tentang perlunya layanan lebih baik kepada masyarakat India pada 15 peratus.

Sebaliknya, pengundi muda, mereka yang berumur bawah 40 tahun, lebih prihatin terhadap perkara-perkara berkaitan tadbir urus yang baik dan kepimpinan, sementara pengundi berumur 40 tahun ke atas menyatakan sedikit kebimbangan terhadap hak-hak komunal (11 peratus).

Merdeka Center berkata responden dipilih berdasarkan rawak membabitkan etnik, jantina dan kawasan parlimen.

“Temubual dijalankan dalam bahasa yang menjadi pilihan responden. Kaji selidik ini dibiayai secara dalaman oleh Merdeka Center for Opinion Research untuk dihebahkan kepada umum, ” kata Merdeka Center.

Firma itu berkata kaedah pemodelan pilihan raya adalah berdasarkan tinjauan peringkat kebangsaan dan negeri, ditambah dengan corak mengundi etnik yang khusus, anggaran jumlah pengundi yang keluar mengundi dan faktor penyelarasan untuk kekuatan parti dan kualiti calon.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote