PRU14 medan terbaik lakukan perubahan untuk kesejahteraan, kata Miqdad

PRU14 medan terbaik lakukan perubahan untuk kesejahteraan, kata Miqdad

Ketua AMANAH Marang, Miqdad Zakaria berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini adalah medan terbaik buat rakyat negara ini untuk membuat perubahan ke arah kesejahteraan.

Ia juga kata beliau, langkah permulaan yang akan memberi kesedaran bahawa rakyatlah kuasa sebenar dalam negara ini.

Ujar Miqdad, PRU14 yang disebut ibu segala pilihan raya ini bukan sekadar untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH), menyingkirkan Najib Razak dan menjadikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM) buat kali kedua.

Tetapi katanya, yang jauh lebih penting ialah untuk menjamin masa depan rakyat dan generasi seterusnya.

“Semua kita tahu Najib sedang terkait dengan skandal kewangan terbesar dalam dunia, di mana sekurang-kurangnya lapan negara telah dan sedang menyiasat 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang ditubuhkannya.

Miqdad Zakaria

“Dan kekalnya beliau di kerusi Perdana Menteri sehingga sekarang hanyalah semata-mata kerana kuasa masih di tangannya,” kata beliau dipetik daripada tulisannya di Facebook.

Jelas beliau, dengan kuasa di tangannya, Peguam Negara dipecat dan digantikan dengan individu pilihannya, proses siasatan polis dan SPRM dilambatkan tanpa kesudahan, laporan audit 1MDB di OSA kan, soalan tidak boleh ditanyakan di Parlimen dan semua menteri akhirnya hanya jadi pengampu dan tukang angguk sahaja.

Di negara lain, kata beliau, jika pemimpinnya dikaitkan dengan skandal sebegini rupa, sama ada mereka sendiri akan meletakkan jawatan atau rakyat akan menjatuhkannya.

“Keinginan Najib untuk menang pilihan raya akan datang tidak lain ialah untuk memastikan beliau kekal berkuasa dan tiada fail siasatan dibuka terhadapnya buat selama-lamanya, sebab itu kemenangan BN adalah amat penting baginya.

“Untuk tujuan itu Najib sedang menggunakan pelbagai cara “cash is king” untuk mencapai matlamatnya. Beliau kini sedang membeli jiwa rakyat dengan tujuan mengaburi mereka terhadap skandal yang melingkari dirinya.

“Peruntukan pembangunan, taburan projek segera, pemberian tunai, agihan barangan keperluan harian, janji bulan bintang, manipulasi media dan sebaran berita palsu melalui media arus perdana dan media berbayar sedang giat dilakukan di seluruh negara,” tambah beliau.

Semuanya dilakukan hanya semata-mata untuk kekal berkuasa, kata beliau.

Najib katanya, tidak peduli kesusahan rakyat, kos sara hidup yang terus meningkat, cukai yang membebankan, pengangguran, lepasan universiti tiada pekerjaan dan segala macam kekangan lainnya.

Justeru katanya, jika BN terus menang, bukan saja tiada jaminan masalah rakyat dapat diselesaikan, bahkan juga tiada jaminan tiada cukai dan kos sara hidup tidak dinaikkan.

“Malah seperti kata Dr. Dzulkifli Ahmad daripada AMANAH, dengan gaya kepimpinan Najib yang mengamalkan 4B (bolot, bocor, boros dan bazir) gunung pun boleh rata sebenarnya.

“Yang pasti selesai ialah Najib akan terus bermaharajalela dengan kuasa yang ada padanya dan tidak akan didakwa buat selama selamanya. Jho Low juga bebas merdeka dengan wang kita sebanyak-banyaknya.

“Fail 1MDB akan tersimpan dalam kabinet besi atau dikunci buat selama-lamanya, kalau pun tidak dihapuskan sama sekali, katanya.

“Yang tinggal hanyalah hutang hutang 1MDB yang terpaksa kita bayar bersama kos sara hidup yang kian meningkat dan harga barang yang semakin mahal.

“Perbelanjaan yang Najib hari ini lakukan untuk membeli jiwa rakyat juga kitalah yang akan membayarnya di kemudian hari.

“Sebab itu adalah penting untuk rakyat dan pengundi melakukan perubahan. Memang perubahan akan menjadikan PH sebagai kerajaan baru dan Tun Mahathir pula Perdana Menteri buat kali kedua, selain Najib akan kehilangan kuasanya.

Tetapi baik PH atau pun Tun Mahathir katanya lagi, mereka hanyalah alat kepada rakyat. PH sebagai kerajaan baru tidaklah sama seperti BN yang menjadikan pemegang jawatan PM berkuasa dalam segalanya dan sebebas-bebasnya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES