Malaysia Dateline

PRU14: Zambry sedia terima serangan fitnah

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersedia menerima serangan fitnah daripada pembangkang terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai strategi akhir parti tersebut meraih keyakinan pengundi.

Beliau berkata seperti yang dijangkakan, pelbagai isu dan tohmahan dilemparkan kepada beliau dalam siri ceramah mereka dalam usaha meracuni pemikiran rakyat.

“Mereka akan terus menyerang saya dan itu adalah strategi mereka. Kalau tidak mereka akan menghadapi kesukaran dalam menghadapi pilihan raya, katanya pada sidang media selepas program ‘Sembang Anak Muda Jee’ bersama Menteri Besar di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semasa ceramah parti AMANAH di Sungai Siput.

Nizar dalam ceramah tersebut mempersoalkan Zambry mengenai pembelian kereta mewah jenis Audi Q7 dan isu bonus yang diterima Zambry daripada sebuah anak syarikat kerajaan negeri Perak.

Zambry berkata pemimpin pembangkang seperti Nizar bukan watak baharu dalam arena politik Perak, malah pelbagai tohmahan serta makian dilemparkan Nizar kepada dirinya dalam siri ceramahnya.

“Rakyat boleh menilai sendiri dan membuat pilihan adakah pemimpin seumpama itu yang mereka mahukan,” katanya.