Malaysia Dateline

PRU15 dan pemilihan Umno, mana dulu?

Baru-baru ini, bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional, Annuar Musa menyarankan agar pemilihan parti disegerakan, supaya Umno lebih bersiap sedia untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sewajarnya, PRU15 tidak perlu diawalkan, kerana mandat pengundi adalah tempoh lima tahun untuk sepenggal.

Lebih-lebih lagi, kita sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19, disusuli dengan kemelut ekonomi yang menuntut kestabilan politik agar lebih tumpuan diberikan untuk menangani krisis ini.

Bagi Perikatan Nasional pula, tidak masuk akal jikalau mereka merampas kuasa sekadar untuk beberapa bulan.

Justeru, biar berterus-terang, bahawa ura-ura PRU15 diawalkan itu timbul kerana parti Melayu-Islam gagal bersatu selepas Langkah Sheraton.

Tidak usah ditanya, mengapa tidak PPBM kembali kepada pangkuan Umno, sedangkan mereka yang masih berada dalam Umno pun sedang berpecah-belah.

Sebaik melangkah ke dalam lumpur kuasa, Muhyiddin Yassin sedar bahawa dirinya memerlukan PRU15 untuk membebaskan diri daripada ugutan Umno.
Sementara itu, Umno memerlukan PRU15 untuk kembali mendominasi kerajaan, andainya menawan Putrajaya.

Cuma, Umno memerlukan pemilihan parti untuk menyingkirkan pemimpin yang tercalar imejnya, menampilkan calon Perdana Menteri yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Muhyiddin.

Ironinya, berdasarkan senario politik terkini, kedudukan Muhyiddin Yassin paling selesa jikalau saf pimpinan Umno kekal pada status quo-nya.

Mustahil Muhyiddin Yassin merangkul jawatan PM memandangkan PPBM bukan parti terbesar dalam gandingan Umno-Pas-PPBM.

Gelaran Perdana Menteri dikalungkan pada sosok Muhyiddin, dan gagal dirampas oleh Umno sehingga hari ini – berpunca daripada kebuntuan dalam Umno sendiri.

Apa tidaknya, Presiden Umno terheret dengan kes mahkamah yang belum selesai; Timbalannya pula hanya seorang ADUN, tidak memenuhi syarat kelayakan dari segi Perlembagaan untuk dinobatkan sebagai PM.

Daripada tiga naib presidennya, Khaled Nordin tewas dalam PRU14, di samping kedua-dua Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri gagal menandingi Muhyiddin dari segi senioriti.

Sementara itu, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, yang lebih positif imej mereka, tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat pusat Umno.

Sudah tentu ia akan mencentuskan pertikaian yang lebih besar dalam Umno, seandainya ahli parlimen yang tidak berjawatan dalam parti, mengambil alih jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Lebih-lebih lagi, Muhyiddin dan PPBM boleh mengambil kesempatan daripada persaingan kabilah yang berbeza dalam Umno. Secara ringkas, Umno kini menyaksikan pergelutan antara pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan, dengan mereka yang tidak berjawatan dalam kerajaan Muhyiddin.

Umno sendiri buntu hingga gagal merampas gelaran Perdana Menteri daripada Muhyiddin.

Menuntut jawatan

“Kluster mahkamah” seperti Najib Razak, Ahmad Zahid dan pemimpin yang sewaktu dengan mereka, mungkin masih berpengaruh di peringkat akar umbi, tetapi pengaruh mereka cuba diimbangi apabila Muhyiddin melantik pemimpin lain sebagai menteri, untuk menguasai sumber.

Jadi, buat sementara waktu, menteri-menteri Umno ini meminjam kekuatan Muhyiddin untuk menyekat pengaruh kabilah lain dalam Umno.

Sekilas pandang, Muhyiddin lebih selesa dengan pemimpin Umno yang dilantiknya sebagai menteri. Namun, hubungan saling memerlukan ini akan berakhir selepas pemilihan Umno, juga PRU15.

Agak pasti, Umno akan menuntut jawatan perdana menteri selepas PRU15. Perhitungan atas kertas berdasarkan senario terkini membayangkan kepada kita, agak mustahil bilangan kerusi yang ditandingi dan dimenangi PPBM, lebih besar daripada Umno.

Melainkan jikalau jumlah kerusi yang dimenangi Pas bersama PPBM melebihi kerusi Umno, atau kerusi yang dimenangi parti komponen lain “solid” menyokong Muhyiddin – kita tidak nampak mengapa perlunya Umno untuk melepaskan jawatan PM kepada Muhyiddin atau PPBM selepas PRU15.

Dengan kata lain, seandainya pemilihan Umno diadakan lebih awal daripada PRU15, maka Umno berkemungkinan keluar dari kebuntuan sedia ada. Umno boleh memilih calon presiden yang bebas daripada kes mahkamah, untuk “Make Umno Great Again”.

Dengan kata lain, pemimpin seperti Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin yang kelihatan selesa dengan Muhyiddin sekarang, bakal menjadi pesaing kepada PM kelapan ini untuk merebut jawatan tertinggi dalam kerajaan pada masa akan datang.

Maknanya, kedudukan Muhyiddin sebagai PM tidak terjamin juga, jikalau pemimpin seperti Zahid dan sebagainya, disingkirkan dalam pemilihan Umno nanti.

Namun, perlu diingatkan, andainya itulah senarionya, maka pemilihan Umno sebelum PRU15 adalah umpama pemilihan calon PM kesembilan daripada Umno.

Maka, tidak sukar untuk dibayangkan persaingan sengit antara Mohamad Hasan, Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein, dan lain-lain – barangkali “proksi” daripada “kluster mahkamah” untuk merebut jawatan Presiden Umno.

Jikalau calon-calon tersebut gagal mencapai muafakat, tidak mustahil “proksi” daripada “kluster mahkamah” boleh menang ekoran pemecahan undi.

Jadi, andainya anda Muhyiddin Yassin, apakah keputusan pemilihan Umno yang anda harapkan, supaya anda terus kekal sebagai perdana menteri selepas PRU15?

Atau, apakah parlimen harus dibubarkan, sebelum atau selepas pemilihan Umno? Andainya sebelum pemilihan Umno, bagaimana jikalau Zahid masih menakhodai Umno, dan cuba sedaya-upaya untuk sabotaj PPBM?

Andainya selepas pemilihan Umno, bagaimana pula jikalau presiden baru Umno memperolehi sokongan yang lebih besar, untuk dinobatkan sebagai PM?
Dilema? Tak apa, renung-renunglah sepanjang tempoh darurat ini.