Malaysia Dateline

PRU15 dan persiapan lapisan kedua AMANAH

Cabaran jangka pendek yang dihadapi oleh Parti Amanah Negara ialah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan memenanginya bagi melaksanakan matlamat perjuangannya yang terhalang separuh jalan apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang ekoran pengkhianatan sebahagian anggotanya terhadap mandat rakyat PRU14.

Tetapi cabaran jangka panjang bagi AMANAH ialah penyediaan pemimpin, aktivis, ahli dan penyokong pelapis yang tentunya daripada kalangan generasi lebih muda untuk meneruskan perjuangan yang telah dirintis dan dimulakan sejak tahun 2015.

Di sinilah perlu diingatkan kembali bahawa sebab penubuhan parti adalah memikul tanggungjawab suci matlamat perjuangan dan bukan semata-mata untuk menyertai pilihan raya bagi mendapatkan kuasa melalui penubuhan kerajaan bersama sekutu-sekutunya.

Perjuangan AMANAH adalah Islam. Ada orang menyebutnya sebagai Islam progresif yang inklusif, demokratik dan menolak rasisme. Istilah-istilah ini untuk membezakannya dengan aliran lain yang disebut sebagai Islam konservatif yang eksklusif, autoritarian dan bersifat rasis. Fahaman AMANAH terungkap pada gagasan Rahmatin Lil Alamin yang pernah dilaksanakan melalui kerajaan Pakatan Harapan.

Tetapi nama AMANAH itu sendiri menunjukkan komitmen parti yang mahu mewujudkan negara bersih, jujur, berakhlak dan bermaruah.

Inilah wawasan parti yang diletakkan oleh pengasas-pengasasnya hasil daripada perjuangan panjang mereka menentang Umno sejak tahun 1980-an dengan turut menyertai pakatan-pakatan daripada Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan akhir sekali Pakatan Harapan.

Sama ada wawasan ini akan diteruskan oleh pelapis akan datang tentulah terpulang pada mereka. Generasi baharu pendukung AMANAH tidak melalui pengalaman 40 tahun pengasas-pengasasnya itu. Generasi asal penggerak AMANAH sedang melalui zaman yang mereka akan berundur untuk memberi laluan pada lapisan baharu.

Penubuhan kerajaan Pakatan Harapan, walaupun 22 bulan, membuahkan banyak kejayaan, tetapi pada waktu sama kekecewaan juga. Tetapi ia juga memberikan pengalaman dan pengajaran besar. Salah satunya ialah betapa aktivisme 40 tahun dalam pembangkang tidak semestinya menyediakan seseorang untuk menjadi pemimpin kerajaan yang cekap dan baik.

Satu lagi pengajaran ialah betapa masyarakat Melayu mempunyai sentimen konservatif dan rasis yang tebal hingga tidak dapat melihat keburukan korupsi, kleptokrasi dan penyelewengan.

Kemenangan AMANAH dalam PPRU14 adalah hasil kesepakatan PKR, DAP dan Bersatu di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad dan sokongan Anwar Ibrahim. Kerjasama ini memberikan keyakinan pengundi untuk menolak Barisan Nasional yang dikaitkan dengan kleptokrasi.

Tetapi lanskap politik bagi PRU15 pilihan adalah jauh berbeza dan lebih mencabar. Konvensyen AMANAH di Melaka pada 26 Disember 2020 ini mungkin terakhir sebelum pilihan raya itu, yang dijangka akan berlangsung pada tahun 2021.

Pihak parti kerajaan yang dilawan oleh AMANAH, walaupun tidak memiliki mandat rakyat diketuai oleh mereka yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan. Mereka menjadi ahli parlimen atas undi pendukung-pendukung Pakatan Harapan daripada PKR, Bersatu, DAP dan AMANAH. Mereka tidak memperoleh undi daripada penyokong Barisan Nasional dan Pas, tetapi kini mereka menjadi kerajaan atas sokongan Barisan Nasional dan Pas yang ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.

Sungguhpun begitu, kerajaan Perikatan Nasional dapat bertahan walaupun bilangan mereka di Parlimen amat tipis dan usaha Pakatan Harapan untuk mengembalikan mandat rakyat berulangkali telah gagal.

Keburukan kerajaan Perikatan Nasional bukan saja kerana mereka mengkhianati mandat rakyat tetapi memberi nafas baharu pada budaya kleptokrasi dan korupsi dengan berkompromi kepada kehendak Umno.

Sudah hilang semua matlamat untuk membersihkan negara seperti mana ketika sebahagian mereka berada dalam Pakatan Harapan.

Namun mereka licik dalam merancang dan melaksanakan skema untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya di pihak pembangkang khususnya Pakatan Harapan, keadaan berpecah antara Mahathir dan Anwar yang masih belum terurus. Jika keadaan ini berterusan, sukar bagi Pakatan Harapan untuk mengalahkan Perikatan Nasional. Ini kerana siapa yang bersatu akan menang, siapa yang berpecah akan kalah.

Perpecahan antara Mahathir dan Anwar bukan saja menjejaskan Pakatan Harapan tetapi juga parti-parti anggota termasuk AMANAH. Daripada awal lagi AMANAH komited mendukung Anwar sebagai ketua Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri.

Pengasas-pengasas AMANAH konsisten dalam hal ini sejak gerakan Reformasi tahun 1998 baik semasa dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Memang benar yang dilawannya ketika itu adalah Mahathir.

Tetapi lanskap politik berubah menjelang PRU14. Mahathir mahu bersama malah memimpin Pakatan Harapan untuk melawan kleptokrasi Umno. AMANAH mendukung “grand coalition” ini untuk menyatukan pembangkang bagi mengalahkan kleptokrasi dan melaksanakan manifesto Pakatan Harapan.

Begitulah seterusnya apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang sekalipun. Komitmen terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri kekal sementara sokongan terhadap Mahathir adalah dalam usaha untuk memulihkan mandat rakyat. Iaitu adalah semata-mata untuk melengkapkan bilangan ahli parlimen bagi mengatasi apa yang dimiliki oleh Perikatan Nasional.

Tetapi apa yang berlaku adalah suatu yang amat mengecewakan para penyokong. Berlaku dalam AMANAH sesuatu perpecahan kecil antara yang menyokong Anwar sementara yang lain menyebelahi Mahathir.

Akibatnya, ada ahli AMANAH yang meninggalkan parti dan menyertai PKR. Walaupun sama-sama berada dalam Pakatan Harapan, PKR tetap bukan AMANAH.

Bagi menghadapi keadaan ini, untuk penyatuan pembangkang, DAP dan AMANAH menganjurkan semula “grand coalition” baharu yang kini disebut PH plus bagi menggembleng perpaduan Pakatan Harapan dan semua pihak pembangkang termasuk Pejuang, Warisan, Parti Muda, PSB, UPkO dan lain-lain.

Walaupun kini usaha ini belum sempurna tetapi tiada jalan lain bagi pembangkang dalam suasana yang kian semakin suntuk.

Untuk menyelesaikan soal ini bukan mudah. Lebih sukar daripada ketika menghadapi PRU14 dahulu. Kalau dahulu, banyak penyokong Umno turut memberi sokongan pada Mahathir dan Pakatan Harapan. Dengan kempen perkauman dan agama yang dilancarkan oleh Umno dan Pas semasa pentadbiran Pakatan Harapan dahulu, banyak orang Umno kembali menyokong partinya. Sementara penyokong Bersatu pula memihak pada Perikatan Nasional.

Di pihak AMANAH pula, ia memerlukan semangat lebih baharu. Sokongan pada parti adalah berbentuk dua hala. Parti politik bukan semata-mata alat tetapi merupakan pengungkapan hati nurani ahli dan penyokong. Para pendukung boleh memberi komitmen dan semangat tetapi parti pula wajar menghargai dokongan itu, inilah apa yang perlu dilaksanakan supaya parti kekal relevan untuk generasi mendatang.

Perlu diingat lanskap politik sentiasa berubah dengan generasi baharu mempunyai aspirasi serta cara bekerja berbeza daripada aktivis-aktivis yang mula bergerak pada tahun 1980-an. Sampai satu ketika nanti, itu tidak lama, zaman generasi pengasas akan berlalu. Persediaan lapisan kedua amat penting bagi kelangsungan parti.

Perjuangan ada pasang surutnya. Kemenangan adalah suatu yang tidak terjamin. Tetapi semangat dan matlamat jelas menjadikan sesuatu perjuangan itu manis dan bermakna. sebarang cabaran itu yang meningkatkan kemanisan perjuangan.

ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.