Malaysia Dateline

PRU15 dijangka berlangsung lebih awal, kata firma penyelidikan bebas

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan lebih awal berbanding tempoh masa yang sepatutnya, kata Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk parti, pemimpin politik, bakal calon, wakil rakyat semasa dan sesiapa sahaja yang terlibat untuk mengukur situasi politik dalam konteks masing-masing.

“Paling penting adalah memahami kehendak pengundi, isu-isu yang berlegar dalam kalangan pengundi, serta kecenderungan pengundi terhadap situasi politik mutakhir.

“Info-info ini boleh digunakan oleh parti politik untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, merawat sokongan, memilih calon dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Yusri Ibrahim

Menurutnya, semua aspek tersebut boleh diukur melalui tinjauan-tinjauan di lapangan sama ada dalam kawasan Dewang Undangan Negeri (DUN), Parlimen atau negeri bahkan peringkat nasional sekalipun.

Untuk rekod, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 8 Mei tahun lalu menjangkakan PRU-15 akan diadakan tahun ini susulan ramalannya ketika itu kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuma bertahan dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

Mengulas jangkaan seorang pemimpin tertinggi Bersatu bahawa PN akan menang sangat selesa dalam PRU15, Yusri berpendapat ramalan itu banyak bergantung kepada sentimen analisis yang dibuat secara kendiri.

“Saya meneliti pandangan beliau dengan terperinci, untuk kenal pasti apakah faktor-faktor utama yang dijadikan sandaran pada peramalan itu.

“Malangnya pemboleh ubah yang dibincangkan untuk menyokong hujah beliau (pemimpin tertinggi Bersatu) itu tidak cukup kukuh, bahkan masih longgar.

“Banyak pemboleh ubah signifikan lain yang berpotensi mempengaruhi keputusan PRU15 nanti langsung tidak disentuh.

“Bahkan pemboleh-pemboleh ubah pengganggu yang berpotensi besar untuk menggagalkan hasrat PN memenangi PRU15 tersebut juga tidak diambil kira,” jelasnya.

Yusri turut menyifatkan unjuran tersebut dibuat tanpa sokongan kajian ilmiah yang menekankan elemen kesahan dan kebolehpercayaan pengukuran yang tinggi.