Malaysia Dateline

PRU15 dijangka catat sejarah paling kotor di Malaysia

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dijangka akan mencatat sejarah paling kotor PRU negara ekoran adanya sogokan kewangan, projek, ugutan serta salah guna kuasa termasuklah agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan, demikian dizahirkan oleh Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa.

Jelasnya, matlamat menghalalkan cara akan berlaku dan dilakukan oleh ahli-ahli politik tertentu yang rakus untuk berkuasa dan ingin kekal berada dalam tampuk pemerintahan.

“Tidak dapat dinafikan ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan diminta menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri PN melalui sogokan wang, ugutan dan tekanan melalui agensi-agensi tertentu tanpa merasa kesusahan dan kesengsaraan rakyat.

“Mereka mempergunakan kesukaran rakyat terutamanya dalam suasana pandemik Covid-19 sebagai alat untuk memperolehi sokongan rakyat dengan cara yang jelek dan menggunakan wang serta material untuk membeli seberapa banyak undi yang boleh.

“Maka akan bertaburanlah ‘Kepala Agong’ yang akan dijadikan bahan kempen. Budaya politik lama akan terus kekal relevan bagi mereka yang mengkhianati mandat rakyat dan yang penting untuk mereka hanyalah undi. Sebaliknya hanya rakyat yang berprinsip sahaja akan terus kekal utuh,” ujar beliau.

Tambah Fariz, mereka yang telah mabuk kuasa tahu bahawa mereka telah merampas kerajaan secara jijik dan rakyat pada hari ini melihat para pengkhianat serta ‘katak-katak politik’ sedang ghairah mewarnai suasana politik negara bagi merealisasikan impian mereka.

Tegasnya lagi, rakyat mampu untuk membuat keputusan yang terbaik, samada mengekalkan ahli-ahli politik yang korup untuk terus berkuasa atau pun sebaliknya setelah terbukti pengalaman PRU 14 mencatat sejarah apakala rakyat mampu menumbangkan kerajaan korup yang gayat mengamalkan kleptokrasi kerana ‘suara rakyat, suara keramat’.