Malaysia Dateline

PRU15: PH dalam proses tetapkan manifesto

Pelbagai persiapan telah dan sedang giat dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuklah proses menetapkan manifesto kini.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH mempunyai matlamat besar bagi membela nasib rakyat dengan menyelesaikan pelbagai isu membabitkan ekonomi, politik dan sebagainya.

“PH mempunyai kemampuan untuk membetulkan kepincangan yang sedang berlaku dalam negara kini dengan menstabilkan kedudukan politik dan ekonomi yang dilihat amat bercelaru sebelum ini.

“Semasa PH menerajui kepimpinan sebelum ini, kadar pengangguran hanyalah tiga peratus. Namun begitu, di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada, kini kadar pengangguran telah meningkat kepada 4 peratus.

Saifuddin Nasution

“Peluang pekerjaan terhad, gaji dan upah naik tidak seberapa serta harga barangan meningkat naik,” katanya ketika menyampaikan ceramah PH Dun Bukit Tengah di Juru, Seberang Perai Tengah malam tadi.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan kemenangan PH untuk terus membela nasib rakyat, ujarnya, perlu ada kekuatan dalam kalangan parti komponen.

“Kemenangan kerusi yang ditandingi oleh PKR adalah juga kemenangan AMANAH maupun DAP dan begitu juga sebaliknya,” tegas Setiausaha Agung PKR itu.

Tambahnya lagi, PH yang telah menang di Pulau Pinang harus mengekalkan penguasaan pada PRU15 ini dengan turut merampas kembali kerusi-kerusi yang dipegang oleh wakil rakyat yang telah melompat parti sebelum ini.

Baca juga Pakatan Harapan sedia hadapi pilihan raya, kata resolusi temurapat pimpinan di Seremban

Baca juga Lelaki Singapura hilang di Hutan Lipur Panti Timur