Malaysia Dateline

PRU15: PH umum peguam calon di Parlimen Padang serai

Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dr Mohamad Sofee Razak, 47, iaitu seorang peguam sebagai calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mohamad Sofee diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen itu yang ditangguhkan sebelum ini berikutan kematian calon PH, Karupaiya Mutusami, 69, akibat serangan jantung, Rabu minggu lalu.

Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu majlis yang diadakan di sini, malam tadi.

Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PH Kedah sebelum ini pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Pilihan raya Parlimen Padang Serai sebelum ini terpaksa ditangguhkan kepada 7 Disember susulan kematian Karupaiya.

Pada PRU14, Karupaiya memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 selepas menewaskan Datuk Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (PAS).

Pada penamaan calon sebelum ini, kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru di antara Karupaiya (PH), calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sivaraj Chandran, Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Amanda AK (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember.

Calon mempunyai 13 hari untuk berkempen, yang berakhir pada 11.59 malam pada 6 Disember.

Baca juga: Tanda Anwar bakal angkat sumpah?