Malaysia Dateline

PRU15: Pilihan Zahid mencari sekutu baharu Umno?

Bukan mudah mengemudi parti yang kalah dalam pilihan raya, apatah lagi selepas lebih enam dasarwarsa memerintah dengan selesa.

Apabila kuasa terlepas dan berada di posisi pembangkang, ditambah berdepan dengan siri pendakwaan salah guna kuasa di mahkamah, jawatan presiden parti penuh calar dan luka. Arahan dan keputusan presiden tidak lagi dihormati sepenuhnya.

Situasi bertambah buruk jika parti yang kalah dalam pilihan raya itu berpeluang membentuk kerajaan dengan “gerombolan pengkhianat”, tetapi bukan lagi sebagai peneraju utama, malah presiden tadi dan “kluster mahkamah” tidak terpilih dalam jemaah menteri.

Maka wakil parti dalam Kabinet lebih mendengar kata perdana menteri “kerajaan pintu belakang”, berbanding presiden parti sendiri. Malah, menteri-menteri berkenaan tidak pula berjawatan dalam pimpinan tertinggi parti.

Mungkin begitulah senario yang membelit Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno yang nampak makin hilang kawalan ke atas ahli-ahli parlimen partinya sendiri.
Dirinya sendiri terpasung dengan kes-kes mahkamah ketika Umno perlu lonjakan segera daripada kepimpinan yang tegas dan berani. Maka, semakin lunturlah usaha pemulihan parti dan institusi presiden terus dipersoalkan wibawanya.

Sudah dijangka kerajaan tanpa mandat rakyat hasil pembelotan ini akan melalui jalan berliku walaupun kononnya berdiri atas semangat perpaduan Melayu-Islam.

Sejak hari pertama lagi, kerjasama rapuh Umno-Bersatu-Pas ini, hanya didorong kerakusan kuasa, dan masing-masing akan “menikam belakang” dan cuba berlagak sebagai “abang besar”.

Rasanya semasa perundingan atau komplot menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bermula, tiada perincian dimuktamadkan mengenai komposisi anggota Kabinet.

Yang penting PH mesti ditumbangkan terlebih dahulu. Yang penting, semasa berdepan PRU15, bukan PH yang memegang kuasa. Ketika itu majoriti rakyat sudah mula menerima pembaharuan yang diusahakan oleh PH.

Umno waktu itu mengira, keutamaan mereka adalah menamatkan penguasaan PH, bagi memudahkan misi untuk menawan semula Puterajaya. Soal pertembungan yang dijangka dengan Bersatu terutama berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya atau kemungkinan dibuli oleh Bersatu bukannya tidak terfikir, tetapi agenda lebih penting mesti didahulukan. Masalah yang timbul kemudian akan diselesaikan bila tiba masanya nanti.

Umno umpama orang kelemasan, akan berpaut dengan apa jua yang boleh menyelamatkan diri. Teori hasil kerjasama dengan Pas, yang memungkinkan kuasa direbut semula dalam PRU15, dirasa terlalu lama untuk direalisasikan. Dalam politik, untuk tempoh seminggu pelbagai kemungkinan boleh berlaku, inikan pula masa yang lebih lama, sehingga tiga tahun!

Tidak berkuku

Selepas mengharungi waktu bersama dalam kerajaan Muhyiddin-Azmin-Hamzah, Umno terasa semakin sukar usahanya mengambil kesempatan daripada perkongsian kuasa dengan Bersatu.

Cabaran pertama adalah mendapatkan kerusi pilihan raya yang dihajatkan. Bersatu tidak bersedia melepaskan kawasan yang dimenangi Umno tetapi kemudiannya melompat parti.

Sedangkan sasaran Umno dan Bersatu adalah konstituensi sama, iaitu kerusi majoriti pengundi Melayu. Dalam PRU14, Bersatu yang bertanding 52 kerusi Parlimen, hanya menang 13 kerusi, tetapi hilang satu kepada MCA, dalam PRK Tanjong Piai.

Sebanyak 13 kerusi yang dimenangi atas tiket BN kemudiannya menjadi milik Bersatu apabila wakil rakyat Umno melompat parti untuk bersama kerajaan PH waktu itu.

Kini, Umno berkeras mahu pertahankan kerusi yang asalnya dimenangi BN. Sejak awal, agihan kerusi di antara Umno-Bersatu dibayangi jalan buntu.

Namun, seringkali kelebihan berada di tangan kelompok yang berkuasa. Takhta boleh membeli sokongan dan mengalih kesetiaan. Zahid sedang melalui derita dan perih seorang presiden yang tidak berkuku, malah menanti hukuman.

Lebih terseksa apabila ramai pemimpin Umno di bawahnya menikmati habuan dalam kerajaan Muhyiddin. Sehingga gugatan tidak sahaja datang daripada seteru di luar parti malah berada dalam kamar sendiri. Menjadikan keputusan parti tidak mudah dimuktamadkan, sebaliknya kerap dipersendakan.

Ditambah buruk dengan personalitinya yang nampak “mudah goyah” dan “tidak cukup berani-tegas”. Zahid seperti kurang percaya dengan diri sendiri membuatkan Umno yang dipimpinnya sukar melaksanakan keputusan-keputusan penting atau dilihat “berpusing di persimpangan yang sama”.

Banyak penegasan dianggap sekadar “acah-acah sahaja”. Justeru, Umno dibayangi beberapa fraksi atau umpama kapal dikemudi lebih seorang nakhoda.

Saling mencurigai

Dalam keadaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu umpama telur di hujung tanduk sekalipun Umno masih tidak cukup berani untuk membuat keputusan tegas.

Ketika Umno dilihat “dibuli” dalam persefahaman yang kontang kejujuran, Zahid terus dikepung dilema yang tiada kesudahan. Rakannya yang lebih awal membentuk kerjasama Muafakat Nasional, iaitu Pas, semakin menjarakkan diri dan lebih tertarik dengan Bersatu

Sikap serba-salah Zahid juga tertonjol ketika beliau memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim, dalam surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Malah, yang terbaharu kenyataannya mendesak agar sidang Parlimen diadakan dalam waktu darurat juga ditempelak meniru penegasan yang sama oleh Anwar. Ia satu tamparan yang cukup dahsyat, meletakkan Zahid sebagai pemimpin yang hilang jati diri.

Medan PRU15 dijangka terbuka kepada pelbagai kemungkinan. Bukan hanya pembangkang masih gagal membentuk kesatuan yang padu, di pihak kerajaan juga terdedah kepada kecelaruan dan saling mencurigai.

Pilihan masih terbuka untuk kedua-duanya mencari tapak yang lebih serasi. Namun, yang hampir pasti, Umno di bawah Zahid semakin cenderung untuk berdepan krisis dalaman yang serius. Sama-sama kita perhatikan lanskap politik tanahair seterusnya.