Malaysia Dateline

PRU15: PKR cuba pujuk Rafizi, Izzah kembali aktif

PKR cuba memujuk dua pemimpin mudanya untuk kembali aktif ke pentas politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Kedua-duanya ialah bekas Naib Presiden parti, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang kini penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Mereka berundur dari politik parti ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan Pusat.

Rafizi pada 15 November 2019 mengumumkan berehat daripada politik selepas bebas daripada hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Sementara itu, Izzah yang juga anak sulung Anwar meletakkan jawatan dalam parti pada 17 Disember 2018.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pemimpin berusia 44 dan 41 tahun itu masing-masing sebagai “orang muda yang idealisme, yang baik dan ada ketokohan.”

Ditanya pendapatnya mengenai Rafizi, beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Pandan itu “tersinggung dan kecewa” melihat gelagat beberapa orang pimpinan PKR.

“Dia (Rafizi) bukan nak bertanding sangat jawatan Timbalan Presiden itu. Tapi bila dilihat ada satu trend dan kecenderungan orang yang mengaut kekayaan dan menghakis prinsip.

“Kemudian dalam kerajaan (PH) dah kita bersusah payah berpuluh-puluh tahun dan menang, lantik yang ada, dan meminggirkan yang baik-baik dan gunakan gelagat yang lama, perkotak-katik orang, bagi orang gaduh, kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan dan melukakan hati orang Melayu itu yang memberi kesan kepada orang ini (Rafizi).

“Bukan sahaja Rafizi, malah Nurul Izzah,” katanya dipetik Mingguan Malaysia hari ini.

Untuk rekod, Rafizi mencalonkan diri bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden yang disandang Azmin Ali dalam pemilihan parti pada Ogos 2018.

Rafizi berkata, antara sebab beliau bertanding ialah tidak mahu ada kepemimpinan yang setuju di depan tetapi di belakang cakap lain.

Susulan keputusannya berehat daripada politik itu, beliau memberi tumpuan kepada kepintaran buatan (AI) dan teknologi Internet of Things (IoT) selain mahu terus menjadi ‘orang biasa’ serta menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga serta rakannya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, PKR cuba memujuk Rafizi dan Izzah untuk kembali ke gelanggang politik.

“Tetapi mereka ini (Rafizi dan Izzah) kita cuba pujuk semula dan balik kepada perjuangan dan kembali pada landasan,” tambahnya lagi.

Pada 13 Disember tahun lalu, Rafizi yang juga dikenali sebagai pembongkar rasuah kepimpinan kerajaan BN itu memberitahu sudah lama menasihatkan Anwar tentang adanya beberapa individu dalam PKR yang digelar “sangat kuat membodek”.

“Ini permainan budak-budak keliling Anwar Ibrahim yang hanya muncul lepas beliau dibebaskan dari penjara dan menjadi bakal PM; yang sangat kuat membodek demi tempat kalau beliau jadi PM.

“Kalau Anwar Ibrahim tidak segera bertindak, beliau akan pikul biawak hidup. Saya dah nasihat lama,” tegas bekas Pengurus Kanan (Perakaunan, Belanjawan dan Percukaian Antarabangsa) Petronas itu lagi.

Anwar menerusi buku berjudul ‘Anwar Returns: The Final Twist’ (2015) yang ditulis oleh peguam Australia, Mark Trowell pernah menyebut bahawa Rafizi sahaja yang layak mengambil alih tempatnya selaku pemimpin di dalam PKR.

Lebih selesa

Sementara itu, Nurul Izzah sebelum ini mengkritik kerajaan PH yang dianggap lembap dalam usaha mengotakan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau menafikan dakwaan penarikan diri di dalam parti atau sebarang jawatan disebabkan kecewa dengan politik kepartian.

Sebaliknya, bekas wakil rakyat Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan itu berkata lebih selesa menjalankan tugas membantu rakyat sebagai Ahli Parlimen.

Nurul Izzah turut meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang ketika itu dipengerusikan oleh wakil dari parti kerajaan PH, dan timbalannya juga Ahli Parlimen kerajaan.

Walhal, PH dalam manifestonya mahu Pengerusi PAC diisi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Dalam wawancara akhbar Singapura, The Straits Times pada Mac 2019, Nurul Izzah menyifatkan Dr Mahathir sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengan bekas Perdana Menteri dua kali itu.