Malaysia Dateline

PRU15 tanpa Undi 18 jadi dosa terbesar kerajaan PN

Pakatan Harapan (PH) menegaskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak patut diadakan selagi kelayakan mengundi pada usia 18 tahun tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Blok pembangkang itu berkata, penangguhan pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik pengundi pada 1 September 2022 jelas melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan bersejarah pada Julai 2019 bagi membolehkan warga negara berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.

“Tindakan penangguhan ini secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia, dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka.

“Sekiranya PRU15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ianya akan menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar kerajaan Perikatan Nasional kepada generasi yang akan datang,” kata kenyataan Majlis Presiden PH hari ini.

Terdahulu, SPR hari ini berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH melibatkan teraju PKR, AMANAH dan DAP mengecam keras pengumuman SPR tersebut dan menegaskan penggantunggan Parlimen tidak harus disalahguna untuk membelakangkan Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya.

“Kegagalan ini juga mencerminkan satu kelompongan SPR yang tidak bebas, menyalahi perjalanan proses perundangan dan betapa lemahnya dedikasi SPR terhadap semangat demokrasi itu sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, PH turut menyelar kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak boleh mengelak daripada turut bertanggungjawab atas kegagalan besar tersebut.

PH berpendapat penangguhan tersebut mengundang kemarahan golongan muda yang menunggu peluang menggunakan hak mereka untuk mengundi.

“Pakatan Harapan berpendirian bahawa Undi 18 mesti dilaksana seperti yang dijadual dan diumum di Parlimen oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyudin Hassan sebelum ini, iaitu Julai 2021.

“Sekiranya jaminan dan janji Datuk Seri Takiyuddin tidak ditunaikan maka beliau harus letak jawatan dengan segera,” tegas PH lagi.