Malaysia Dateline

PRU15: Tidak mustahil letak syarat calon PM dari Umno

Secara umumnya, politik negara ini sejak dahulu lagi tiada mana-mana parti mampu berkuasa apabila bersendirian.

Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan) sekalipun, berjaya berkuasa lebih 60 tahun kerana politik koalisi.

Lebih menariknya, PRU15 nanti seperti tiada mana-mana gabungan akan berjaya memperolehi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Setidak-tidaknya masih belum terlihat sehingga kini.

Umno yang menjadi tunjang kepada BN menjadi rebutan. Ada kumpulan dalam Umno yang mahu bersama gabungan PN.

Ada kalangan yang hendak bersama PH dan terdapat kumpulan yang mahu terus bertahan dalam BN. Ini diperkuatkan dengan laungan No DAP, No Anwar dan No PPBM dalam PAU yang selesai bulan lalu.

Dalam politik koalisi, antara perkara yang terlalu sukar diselesaikan ialah pembahagian kerusi. Asas yang biasa digunapakai biasanya adalah kerusi tradisi, demografi pengundi yang selalunya berasaskan kaum, kekuatan jentera parti dan ketokohan bakal calon yang mahu diturunkan di satu-satu kawasan serta faktor kawasan bandar atau luar bandar.

Dalam PRU14 lalu, walaupun Umno hilang kuasa, parti tersebut masih mampu menang di 54 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Bagaimanapun, 13 kerusi yang dimenangi oleh Umno telah bertukar apabila ahli parlimennya melompat ke PPBM. Semuanya di kerusi luar bandar dan majoriti pengundinya adalah Melayu.

Dari satu sisi, ini adalah bukti kekuatan jentera dan ahli-ahli Umno di kerusi-kerusi tradisi Melayu mereka. Mereka diserang hebat oleh PH yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir ketika itu.

Sebelum itu lagi, Umno sendiri telah terpecah dan serpihannya membentuk PPBM. Kubu-kubu Umno terutamanya di Felda digempur hebat, namun keputusan PRU14 menunjukkan Umno teguh bertahan di 54 kerusi mereka.

Oleh itu, dalam PRU15 akan datang ini, jika Umno memilih untuk bersama PN, parti itu terpaksa berkongsi kerusi tradisi mereka dan setidak-tidaknya melepaskan kerusi-kerusi yang lompat kepada PPBM.

PPBM adalah serpihan Umno. Di peringkat akar umbi, Umno menolak PPBM dan hampir mustahil jentera kedua-dua parti ini dapat bekerjasama.

Dalam tinjauan kami, pemimpin Umno peringkat bahagian bertanya, PPBM ini ada grassrooot ke? Jika ada, siapa? Kata mereka, PPBM hanya wujud di peringkat nasional sahaja. Naratif ini dikongsi kuat oleh pimpinan bawahan Umno hampir di semua negeri di Semenanjung.

Tambahan pula, PPBM juga berpecah lagi bila kumpulan yang menyokong Tun Dr Mahathir tidak bersama mereka. Dalam PRU14 yang lalu, PPBM hanya menang 12 kerusi Parlimen daripada 52 kerusi yang ditandinginya.

Ini menunjukkan Umno masih kuat dan mendapat tempat di kawasan-kawasan majoriti Melayu.
Justeru, pilihan terbaik untuk Umno setakat ini ialah bertanding atas logo BN bersama rakan-rakan BN yang lain.

Jika Umno/BN berjaya menang lebih 112 kerusi, Umno boleh mengetuai kerajaan BN.
Namun, jika Umno hanya dapat pertahankan 60 hingga 65 kerusi, sekurang-kurangnya Umno masih menjadi suatu blok parti yang besar.

Mana-mana koalisi yang ingin membentuk kerajaan yang stabil dan kuat tentu sekali boleh berbincang dengan Umno.

Umno pula sudah tentu boleh demand apa saja kehendak mereka dan boleh jadi ini lebih baik dari menjadi tongkat kepada mana-mana parti. Dan jika kena caranya, tidak mustahil Umno boleh letakkan syarat calon PM perlulah dari parti mereka.