Malaysia Dateline

PRU15: Umno bertanding di kerusi yang penyandangnya lompat ke Bersatu

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menegaskan parti itu perlu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi atas tiket Umno tetapi penyandangnya kini sudah menyertai Bersatu.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, beberapa pertimbangan boleh dibuat melalui rundingan, terutama membabitkan sesetengah kerusi dimenangi Bersatu pada PRU-14 yang mungkin boleh diberi kepada Umno pada PRU-15.

“Sebagai contoh Parlimen Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun, Muar, Seri Gading atau Simpang Renggam. Ini kerusi yang dimenangi Bersatu tetapi ahlinya (ketika itu) kini sudah pergi ke ‘tempat lain’.

“Secara dasarnya, 55 kerusi dimenangi Umno perlu dipertahankan oleh Umno, namun bukanlah tegar. Itu biarlah Presiden berunding dengan Presiden,” tegasnya.

Annuar Musa

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian dalam wawancara bertajuk ‘Umno: Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)’ di TV Pertiwi, kelmarin.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak Umno untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang menjadi pertikaian kedua-dua parti itu.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tidak wajar untuk mengorbankan sebuah kerajaan dan kerjasama politik hanya disebabkan perbalahan melibatkan 13 kerusi Parlimen terbabit.

Walau bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kelmarin dilapor menegaskan Umno sudah membuat keputusan untuk mengambil semula semua kawasan milik mereka.

Berhubung perebutan jawatan Perdana Menteri pula, Annuar yakin ia juga boleh diselesaikan menerusi rundingan.

“Kuota (menteri) pun boleh diwujudkan, tiada masalah. Itu tugas Presiden ketiga-tiga parti.

“Lebih baik bertanding sikit dalam gabungan dan menang banyak, daripada berebut dan bertanding banyak tetapi akhirnya menang sikit,” katanya.

Berikut senarai kerusi Parlimen dimenangi Umno pada PRU14 tetapi kini milik Bersatu:

Jeli, Kelantan – Datuk Seri Mustapa Mohamed

Bagan Serai, Perak – Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Masjid Tanah, Melaka – Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin

Larut, Perak – Datuk Seri Hamzah Zainudin

Hulu Terengganu, Terengganu – Datuk Rosol Wahid

Bukit Gantang, Perak – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

Mersing, Johor – Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

Tasek Gelugor, Pulau Pinang – Datuk Shabudin Yahaya

Sabak Bernam, Selangor – Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh

Tanah Merah, Kelantan – Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

Beaufort, Sabah – Datuk Azizah Mohd Dun

Beluran, Sabah – Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Kudat, Sabah – Datuk Abd Rahim Bakri

Libaran, Sabah – Datuk Zakaria Mohd Edris

Sipitang, Sabah – Yamani Hafez Musa