Malaysia Dateline

PSB dakwa GPS tidak ikhlas perjuangkan hak Sarawak

Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS)tidak ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat di negeri ini.

PSB mendakwa sekiranya GPS mempunyai keikhlasan memperjuangkan hak Sarawak, ia seharusnya tidak menyokong sebarang gabungan sehingga janji rasmi dalam bentuk bertulis iaitu semua hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan termasuk hak-hak minyak dan gas.

“GPS sepatutnya berjuang mengembalikan hak Sarawak dalam Parlimen di bawah MA63 dan pemansuhan Akta Wilayah Laut serta yang lain.

“Justeru, sebarang perkara yang tidak berkaitan adalah pengkhianatan terhadap rakyat Sarawak,” kata PSB dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Tegas kenyataan itu lagi, GPS telah menunjukkan diri mereka sebenarnya, apabila pemimpin-pemimpin bergegas ke Kuala Lumpur pada malam Ahad walaupun terdapat penafian daripada mereka.

“Sebelum ini, GPS telah meninggalkan Barisan Nasional (BN) sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, apabila BN kalah dalam Parlimen Persekutan tetapi apabila wujudnya peluang berkuasa semula, Ahli-ahli Parlimen GPS tidak teragak-agak ke Kuala Lumpur untuk berjumpa bekas rakan-rakannya.

Sehubungan itu, PSB yang diketuai bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Wong Soon Koh mengakui 18 Ahli Parlimen GPS adalah penentu pembuat keputusan (kingmaker) kepada mana-mana kumpulan bagi membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Tambahnya, pergolakan politik di Putrajaya ketika ini turut menjejaskan imej Malaysia sebagai negara yang stabil ekonomi dan politiknya.