Malaysia Dateline

PSB kecewa GPS salur Geran MRP di kawasan terpilih

Parti Sarawak Bersatu (PSB) kecewa dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkaitan penyaluran Geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP)di negeri ini.

Menerusi kenyataan media, PSB berkata penyaluran dana MRP oleh Kerajaan Negeri Sarawak hanyalah kepada kawasan Gabungan Parti Sarawak (GPS)yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 lalu sahaja.

Katanya, dengan penyaluran yang terpilih itu, ia sekali gus telah ‘menghukum’ rakyat di kawasan-kawasan yang tidak memilih calon GPS untuk diangkat sebagai pemimpin di tempat tersebut.

“Masing telah menyatakan geran projek luar bandar kecil (MRP) akan terus diagihkan jika rakyat mengundi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Jika rakyat, khususnya badan bukan kerajaan (NGO) mahu MRP diteruskan, mereka hendaklah mengundi GPS dan saya akan memberikan MRP pada tahun 2021.

“Namun Masing tidak jelaskan bahawa wang MRP ini sebenarnya dari kerajaan yang dimiliki oleh rakyat Sarawak dan bukannya GPS. Tidak semestinya dana itu hanya kepada mereka yang mengundi parti komponen GPS sahaja.

“Justeru, berapakah MRP bagi setiap kawasan pilihan raya? Yang menghairankan RM2 juta di bawah bidang kuasa ahli-ahli Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) GPS (menteri penuh mempunyai RM4 juta) ditambah RM5 juta untuk program transformasi Desa,” jelas kenyataan itu di Kuching hari ini.

Di samping itu, tegasnya, ada RM1 juta lagi yang diperuntukkan bagi membaik pulih rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang masuk terus ke akaun peribadi setiap Adun GPS sekali gus jumlah keseluruhannya ialah sebanyak RM8 juta.

Tambah kenyataan itu lagi, cara pengagihan dana berkenaan adalah tidak adil dan berintegriti serta merupakan penyalahgunaan amalan demokrasi dan prinsip.

“Wang itu adalah milik rakyat Sarawak dan bukannya GPS dan jangan benarkan GPS menggunakan geran MRP untuk mempengaruhi undi rakyat nanti,” kata kenyataan itu.