Malaysia Dateline

PSB lantik Ketua Menteri Dayak jika menang PRN12 Sarawak

Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan meletakkan kaum Dayak sebagai Ketua Menteri (KM) sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN)Sarawak Ke-12 kali ini.

Bagaimanapun menurut Utusan Borneo Online, menerusi presiden Dato Sri Wong Soon Koh dipetik sebagai berkata bahawa jawatan berkenaan hendaklah di atas majoriti rakyat Sarawak.

Malah, ketika soalan dari lapangan dan melalui media sosial mengenai pendirian PSB tentang isu itu, Soon Koh berkata sebagai parti berbilang kaum, PSB percaya sesiapa sahaja boleh menjadi Ketua Menteri Sarawak nanti.

“Tidak kira bangsa, sesiapa yang mempunyai kemampuan, kelayakan, komitmen dan hati untuk Sarawak boleh menjadi calon ketua menteri.

“Maka, jawapan tegas saya ialah: Jika ada sokongan yang mencukupi untuk seorang KM Dayak, PSB akan menyokong calon untuk memimpin Sarawak di bawah kerajaan PSB,” ujarnya yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan itu ketika dihubungi.

Soon Koh turut dipetik berterima kasih kepada rakyat Sarawak atas maklum balas positif mereka terhadap manifesto pilihan raya PSB, yang baru-baru ini diterbitkan dalam akhbar tempatan utama dan melalui platform media sosial mereka.

“Saya berterima kasih kepada anda, rakyat Sarawak atas kesudian anda memberi peluang kepada PSB untuk berada dalam kerajaan supaya kita merealisasikan pelbagai pembaharuan yang boleh dilaksanakan yang telah difikirkan dan dirancang dengan teliti untuk Sarawak yang lebih baik.

“Justeru, dalam manifesto PSB berjanji antara lain menambah baik tadbir urus Sarawak termasuk dalam meminda Perlembagaan Negeri bagi membanteras dan membendung rasuah serta salah guna kuasa politik.

” Ia juga mencadangkan untuk mewujudkan empat jawatan timbalan ketua menteri dan pelantikan Menteri Kabinet penuh oleh Ketua Menteri hendaklah melalui perundingan dengan semua Timbalan Ketua Menteri dan sekurang- kurangnya dengan keputusan majoriti Ketua Menteri dan empat Timbalan Ketua Menteri digabungkan

“Selain itu, PSB juga menyatakan setiap satu daripada kumpulan etnik utama (Dayak, Melayu/Melanau, Cina) dan sekumpulan beberapa kumpulan pribumi minoriti di Sarawak berhak mendapat sekurang-kurangnya satu jawatan sama ada sebagai Ketua Menteri atau Timbalan Ketua Menteri, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik, ” tegas beliau.