Malaysia Dateline

PSM buat kajian menyeluruh aspek operasi

Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan melaksanakan kajian menyeluruh terhadap semua aspek operasinya agar dapat tampil sebagai entiti yang lebih kuat dan berdaya saing.

Dalam satu kenyataan hari ini PSM berkata kajian berkenaan bertujuan menjadikan ia sebagai agensi saraan sendiri dan tidak terikat dengan bantuan kewangan kerajaan.

Kajian semula itu melibatkan penilaian semua kontrak semasa untuk bekalan barangan dan perkhidmatan serta struktur organisasi di peringkat atasan dan pertengahan.

Menurut kenyataan itu, PSM juga sedang mengkaji semula lebih daripada 70 kontrak untuk membolehkan ketelusan yang lebih tinggi dalam bekalan barangan dan perkhidmatan kepada perbadanan itu.

Kebanyakan kontrak ini akan menjadi lebih berkesan dijalankan secara dalaman dan perancangan ini telahpun bermula dan pada masa sama, tiada hak eksklusif diberikan kepada kontraktor yang terlibat.

PSM juga memutuskan mana-mana kakitangan kontrak yang akan tamat pada 31 Dis tahun ini diberikan tempoh sehingga 15 Feb tahun depan sebagai tempoh “soft landing” bagi memberi ruang untuk mencari pekerjaan lain bagi mengelak pertindihan tugas antara kakitangan tetap dan kontrak.

Selain mengurangkan perbelanjaan, perbadanan itu memulakan dasar meningkatkan pendapatan melalui pemasaran yang lebih besar, jualan dan acara yang kreatif, menurut kenyataan itu.

“PSM juga merancang mengadakan acara hiburan yang lebih besar di Stadium Nasional selain berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menambah jumlah perlawanan bola sepak di KL Sports City. Bilangan acara yang diadakan di Axiata Arena juga dijangka meningkat 50 peratus,” menurut kenyataan itu.

PSM juga dijangka mengumumkan kalendar program yang akan diadakan di KL Sports City bulan depan dan sehubungan itu perbadanan itu akan menjalani proses perubahan imej secara menyeluruh termasuk laman web dan pengendalian media sosial.

Untuk tujuan itu, PSM juga akan turut memperkenalkan tempahan dalam talian untuk semua tempahan kemudahan dan acara.

— BERNAMA