Malaysia Dateline

PSM mahu Perdana Menteri kaji semula skim MySalam

Anggota Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj meminta Tun Dr Mahathir Mohamad menangguh dan mengkaji semula skim MySalam yang dilancarkan baru-baru ini.

Jeyakumar berkata, terdapat syarat bayaran pampasan dalam skim kepada pesakit yang merisaukan pihak mereka.

Katanya, syarat tersebut hanya dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menghidapi penyakit sehingga tidak boleh melakukan Activities of Daily Living (ADL) atau aktiviti harian.

“Mustahil akan ada seorang pun pesakit dengan penyakit Parkinsons yang akan menerima pampasan RM8,000 dalam jangka masa 5 tahun akan datang.

“Ini kerana Parkinson biasanya berlaku dikalangan pesakit berusia 70 tahun dan ambil masa lebih 10 tahun untuk sampai ke tahap menghalang ADL.

“Pesakit Parkinson yang didiagnosed selepas 1/1/2019 pula tidak akan sampai ke tahap di mana mereka tidak dapat melakukan ADL dalam jangka masa 5 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, syarat ADL ini secara tidak langsung mengecualikan ramai pesakit dengan meningitis, encephalitis, dan head injury selain terdapat syarat ‘permanency’ atau kehilangan upaya kekal untuk penyakit tersebut.

Beliau turut mempersoalkan sama ada syarikat Great Eastern akan menolak tuntutan pesakit dengan penyakit-penyakit ini yang sememangnya mengalami kesusahan ADL dengan alasan ‘permanency’ mereka belum ditentukan.

“Syarat pengecualian juga dilihat tidak jelas. Sebagai contoh, penyakit seperti serangan jantung, kelemahan jantung atau cardiomyopathy dan barah hanya layak menerima pampasan jika penyakit itu cukup teruk.

“Adakah kerajaan Malaysia tahu mengenai tahap keterukan (severity) penyakit-penyakit yang ditetapkan sebagai kelayakan menerima bantuan?

“Adakah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng percaya keikhlasan syarikat Great Eastern tanpa melakukan kajian terperinci terhadap kuantum bantuan yang akan diterima golongan B40 melalui skim MySalam?,” soalnya.

Difahamkan bahawa Syarikat Great Eastern akan dibayar RM400 juta setahun untuk jangka masa 5 tahun bagi membekalkan perlindungan ini kepada kumpulan sasaran golongan B40.

Bagaimanapun mengikut kenyataan Guan Eng, bayaran tersebut diperoleh dari dana RM2 bilion yang dibayar Great Eastern kepada Kerajaan Malaysia supaya dikecualikan syarat menjual 30 peratus dari sahamnya kepada institusi Malaysia seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Oleh itu, Jeyakumar menggesa kerajaan untuk menangguh sementara skim tersebut sehingga kajian aktuarial dijalankan untuk memperolehi anggaran jangkaan kuantum bayaran dalam satu tahun setelah mengambil kira kesemua syarat pengecualian.

Katanya, jika kuantum kurang dari RM400 juta, skim MySalam perlu dibatalkan dan kaedah lain perlu dicari untuk menggunakan bayaran pampasan RM2bilion bagi kebajikan golongan B40.

“Kita boleh guna amaun ini untuk bantu pesakit dari golongan B40 membayar alat dan perkakas yang perlu dibeli oleh pesakit hospital kerajaan seperti plate besi dan skrew untuk pembedahan otopedik, lens mata untuk pembedahan selaput mata (catarract), drug eluting stent untuk prosedur angioplasty dan sebagainya, “katanya.

Beliau juga berharap Mahathir bertindak untuk memastikan RM2 bilion dari Syarikat Great Eastern diguna dengan baik untuk rakyat B40.