PSM sahkan letak calon PRK Semenyih

PSM sahkan letak calon PRK Semenyih

Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijadualkan pada 2 Mac ini selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keinginan rakyat untuk suara ketiga.

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata PSM akan mengumumkan calonnya sebelum hari penamaan calon dan  mengalu-alukan bantuan dari segi kewangan dan tenaga sukarela untuk memantapkan lagi gerak kerja jentera parti.

“Keputusan ini diambil setelah mengambilkira beberapa perkara seperti faktor sejarah, kerusi tradisi, jentera PSM di Semenyih, pandangan ahli dan penyokong-penyokong parti, kewibawaan calon yang menepati syarat parti dan suasana politik tanah air yang mahukan suara ketiga yang menepati kehausan kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, calon PSM, S. Arutchelvan kecundang dalam pertandingan empat penjuru menentang Johan Abdul Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan Bakhtiar (Pakatan Harapan) yang menyaksikan kemenangan Bakhtiar  dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperolehi 23,428 undi.

Penamaan calon PRK DUN Semenyih ditetapkan pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.- BERNAMA