Malaysia Dateline

PSP: AMANAH Sarawak sokong inisiatif Kerajaan

Parti AMANAH Sarawak menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam mengapungkan harga minyak Ron95 di Sarawak dan Sabah.

Pengerusi AMANAH Sarawak, Mohammad Fidzuan Zaidi berkata, memandangkan sistem rangkaian jalan raya di Sarawak masih lagi dalam pembinaan, maka tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat terhadap Sarawak dan Sabah adalah yang terbaik dan bijaksana.

“Kami di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan kampung serta rumah panjang di luar pedalaman masih lagi menggunakan botol plastik untuk menjual petrol.

“Oleh demikian, adalah sukar untuk pihak kerajaan menetapkan sistem subsidi bersasar, Program Subsidi Petrol (PSP) berkuatkuasa pada Januari 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kuching hari ini bagi mengulas kedudukan Sarawak dan Sabah yang dikecualikan daripada PSP seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP)Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam.

Pada sidang media itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan skim subsidi baharu mengapungkan harga RON95 dan mereka yang layak akan menerima RM48 (pemilik motosikal) dan RM120 (pemilik kereta) setiap empat bulan.

Ia akan diberi kepada penerima yang layak iaitu penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Dianggarkan seramai 2.8 juta rakyat akan menerima manfaat di bawah skim subsidi itu melibatkan kos RM65.4 juta sebulan.

Dalam pada itu, Mohammad Fidzuan turut meminta pihak kerajaan pusat untuk menimbangkan golongan M40 yang kebanyakkan merupakan miskin bandar dan perlu diberi perhatian.

“Saya berharap agar PSP diperluaskan kepada golongan M40 yang rata-ratanya tinggal di kawasan bandar di seluruh negara,” tegasnya.