PSR hanya dimulakan selepas patuhi 18 nasihat, kata KM P Pinang

PSR hanya dimulakan selepas patuhi 18 nasihat, kata KM P Pinang
Projek tambak laut di Pulau Pinang Selatan (PSR) yang kini menjadi isu.

Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan, Projek Reklamasi Selatan Pulau Pinang (PSR) hanya akan dimulakan selepas semua 18 nasihat dari Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) dipenuhi.

Dalam sidang medianya hari ini, Chow Kon Yeow berkata, MPFN yang bermesyuarat semalam memutuskan ‘bersetuju untuk dilaksanakan projek itu dengan syarat ia mematuhi 18 nasihat’ yang diumumkannya hari ini.

Chow membuat sidang media di pejabatnya hari ini bagi menjelaskan isu PSR.

“Kita akan mematuhi segala nasihat-nasihat itu termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada agensi yang berkenaan,” kata Chow dalam sidang medianya hari ini.

Ini kerana, katanya, selepas ‘persetujuan’ MPFN semalam, fasa kedua PSR boleh dimulakan iaitu memenuhi semua 18 nasihat dan masalah kewangan.

Semalam, selepas mesyuarat MPFN, Chow telah mengeluarkan kenyataan bahawa MPFN telah bersetuju pelaksanaan PSR dengan syarat 18 nasihat MPFN dipatuhi.

Ia telah mengejutkan pelbagai pihak termasuk Aliran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang turut sama membentangkan pandangan dalam mesyuarat tersebut.

Pagi ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad melalui kenyataannya berkata, MPFN belum meluluskan projek itu lagi kerana kelulusannya bergantung kepada 18 nasihat dan juga laporan EIA dan SIA.

“Majlis tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas projek tersebut tetapi telah menasihati Kerajaan Negeri melalui 18 nasihat yang telah digariskan, beserta dengan ulasan dan nasihat-nasihat tambahan daripada enam kementerian,” kata Khalid.

Kementerian itu adalah:

a. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS);
b. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB);
c. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA);
d. Kementerian Pengangkutan (MOT);
e. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA); dan
f. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Kerajaan Negeri juga dinasihatkan untuk terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan ini dan memastikan keperluan-keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.

“Suka juga diingatkan bahawa permohonan ini perlu mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada agensi yang berkenaan.

“Memandangkan permohonan yang dikemukakan ini berbentuk pelan induk, ianya perlu dikemukakan semula untuk mendapatkan nasihat Majlis di bawah subseksyen 22(2A), Akta 172,” katanya.

Khalid membuat kenyataan ini kerana Plan Malaysia yang menjadi sekretariat kepada MPFN terletak di bawah kementeriannya.