Malaysia Dateline

PSR: Kepentingan, kebajikan nelayan perlu diutamakan kata Anwar

Kepentingan dan kebajikan nelayan yang terjejas perlu diberi keutamaan sebelum projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang dilaksanakan.

Demikian disarankan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbincangan mengenai projek tersebut di Komtar semalam.

Anwar ketika hadir mendengar pembentangan mengenai projek tambakan laut di Komtar semalam.

Jelasnya, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum projek tersebut dapat dilaksanakan.

“Pertama sekali apa yang perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan projek ini perlu melihat rasionalnya untuk membangunkan tiga buah pulau di selatan Pulau Pinang.

“Adalah difahamkan kerajaan negeri memilih untuk tambakan laut adalah kerana kos pengangkutan yang meningkat serta keterbatasan peruntukan kewangan Kerajaan Pusat.

“Walau bagaimana pun soal kepentingan dan kebajikan nelayan yang terjejas perlu diberi keutamaan sebelum projek tersebut dapat dijalankan, ” ujarnya.

Kata Anwar lagi, pandangan telah pun diberikan tentang konsep pembangunan di kawasan tersebut sebagai alternatif supaya para nelayan tidak dipinggirkan.

“Kesediaan kerajaan negeri untuk terus mengadakan perbincangan mengenai projek infrastruktur serta kesan terhadap ekologi adalah amat baik dan harus dipuji.

“Tujuan perbincangan serta pembentangan ini juga adalah untuk mendengar pandangan kedua-dua belah pihak termasuk kerajaan negeri dan juga nelayan yang terjejas.

“Dalam konteks ini ia perlu ada situasi menang-menang, ” tegasnya.

Tambah Anwar, kebajikan nelayan seharusnya diberi perhatian serius kerana nelayan sememangnya bersungguh-sungguh berusaha menambahkan sumber pendapatan mereka.

Isu projek tambakan laut tersebut telah menjadi isu hangat sehingga adanya pelbagai bantahan termasuklah di perkarangan Parlimen baru-baru ini dan beberapa siri bantahan oleh persatuan nelayan maupun pertubuhan bukan kerajaan.

Hadir sama dalam perbincangan tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, SRS Consortium serta pimpinan kerajaan negeri.