Langkah kerajaan yang mewajibkan semua pemandu perkhidmatan e-hailing mesti mendaftarkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) disifatkan satu keputusan tepat bagi mewujudkan persaingan adil kepada pengusaha perkhidmatan awam seperti teksi dan Grab.
Presiden Gabungan Persatuan Pemilik dan Pemandu Kereta Sewa Kelantan (GPK) Ramli Mat Yacob berkata syarat tersabut amat perlu dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan pemandu e-hailing dan pemandu teksi bersaing secara sihat.
“Kami sebelum ini pelbagai syarat perlu dipatuhi sama ada melibatkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan sebagainya.
“Sedangkan mereka (e-hailing) mengambil keutungan bersih, PSV ini mungkin akan melalui proses dan syarat seperti kami sebelum menyediakan perkhidmatan kepada orang awam,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan semua pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ mesti membuat pendaftaran lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) seperti pemandu teksi lain mulai Januari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dipetik sebagai berkata pemandu e-hailing diberi tempoh sehingga 12 Julai 2019 untuk menyelesaikan pendaftaran lesen PSV mereka termasuk mengikuti kursus PSV.
Ramli berkata dengan perlaksanaan PSV itu kerajaan dapat memantau sepenuhnya perkhidmatan e-hailing di negara ini bagi mengatasi kes-kes yang melibatkan penumpang.
“Kami sendiri jika merujuk kepada APAD semua maklumat ada sekiranya berlaku sesuatu kes yang di luar jangkaan berlaku, sekurangnya penumpang boleh tahu maklumat apabila mendapat perkhidmatan kami,” katanya.
“Begitu juga, PSV ini dapat mengatasi masalah pihak-pihak yang mengambil kesempatan menyamar sebagai pemandu Grab dan sebagainya,” katanya.
— BERNAMA