Malaysia Dateline

PTPTN: Bukan sabotaj, Wan Saiful perlu elak kemarahan rakyat, saran penganalisis politik

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berpendapat, isu hangat yang berlaku di dalam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak melibatkan sebarang sabotaj dari dalam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti dakwaan sesetengah pihak.

Bahkan katanya, pengumuman untuk menyekat peminjam ke luar negara dan menyekat pembaharuan lesen memandu serta cukai jalan merupakan hanya cadangan yang belum tentu akan dilaksanakan.

Namun katanya, sekatan demi sekatan yang diumumkan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Eksekutifnya (Dasar dan Operasi), Mastura Mohd Khalid dilakukan pada waktu dan suasana yang salah.

Dr Mazlan Ali

Lebih memburukkan keadaan, katanya, pengumuman itu dibuat tatkala kerajaan PH sedang memasuki tahun kedua dengan iltizam yang lebih baik untuk menyesaikan isu-isu rakyat yang tertangguh dan menunaikan janji manifesto pilihan raya yang lalu.

“Bagaimana pun saya melihat, banyak pihak yang berang dengan isu ini dan terus mengkritik Pengerusi PTPTN dan Timbalan agensi itu tanpa mempertimbangkan isu sebenar yang berlaku.

“Sebenarnya wujud salah faham netizen dan orang ramai bahawa rancangan menyekat peminjam tegar terhadap mereka ingkar sebenarnya bukan keputusan pengurusan PTPTN.

“Tetapi sekadar cadangan yang wujud hasil dari Konsultasi Rakyat yang dibentuk untuk mendapatkan maklum balas pakar-pakar, individu berkepentingan, Kumpulan-kumpulan yang mewakili rakyat, dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya tidak melihat ia sebagai satu sabotaj, tetapi pihak pengurusan tertinggi PTPTN harus lebih berhemah dan berhati-hati sebelum membuat sesuatu keputusan yang boleh mendatangkan kemarahan rakyat dan seterusnya boleh membawa imej yang buruk kepada kerajaan PH,”katanya kepada Malaysia dateline.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan beberapa pihak yang mendakwa isu PTPTN yang sering berbangkit merupakan cubaan semata-mata untuk mensabotaj usaha dan dasar-dasar kerajaan hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keputusan berhemat perlu diambil oleh kerana kerajaan tiada kena mengena dengan pengurusan PTPTN walaupun ia adalah sebuah agensi dibawah kementerian pendidikan.

Dalam pada itu, tambahnya, netizen dan rakyat juga harus meraikan usaha-usaha pihak pengurusan PTPTN yang berhempas pulas mencari penyelesaian ketidakcukupan kewangan dalam perbadanan itu.

“PTPTN sehingga hari ini berusaha memastikan seramai 356,000 peminjam tegar membuat pembayaran balik.

“Tindakan enggan membuat bayaran balik hanya menyebabkan kelestarian PTPTN terganggu dalam memastikan agar dana agensi mencukupi untuk terus membiayai peminjam baharu di masa depan,”ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang Isu ugutan oleh Ketua Pengarah YAPEIM terhadap warga kerjanya supaya tidak mengundi PH pada PRU14, Mazlan menyifatkan tindakan tersebut sebagai menyalahi etika profesional sebagai ketua agensi yang bergerak menggunakan dana rakyat dan sumbangan orang awam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, namun baginya individu tersebut mungkin telah membuat kenyataan sebelum PRU-14 yang lalu di mana tujuannya tidak lain untuk menjaga kepentingan diri sendiri.

“Mungkin ada (berlakunya sabotaj terhadap kerajaan), tetapi sejauhmana keseriusannya itu saya tidak pasti.

“Tapi beliau sebagai ketua agensi tidak boleh mengugut kakitangan dan kononnya akan memeriksa kertas undi kerana prinsip yang wujud dalam negara ini ada kebebasan bersuara dan undi adalah rahsia,” ujarnya.