Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pengumumannya dijangka dibuat dalam tempoh terdekat selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman selesai meneliti dokumen berkenaan.

Dokumen, yang mengandungi maklumat berhubung mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman PTPTN itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat serta idea-idea yang dikumpulkan dan dikemukakan pakar dari Disember sehingga Mac lalu.

“Kita sudah minta ‘lampu hijau’ (untuk bentang) lebih kurang sebulan lepas tapi mungkin ada beberapa pertimbangan di peringkat atas, tapi sebaik saja kita dapat, kita akan bentangkan,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara syarikat pengendali aplikasi e-wallet, KiplePay Sdn. Bhd., dengan Universiti Utara Malaysia (UUM)  pada Ahad.

Wan Saiful sebelum ini mengumumkan kertas yang turut mengandungi beberapa cadangan baharu itu diperoleh hasil perjumpaan meja bulat PTPTN bersama badan bukan kerajaan (NGO), ahli ekonomi, institusi perbankan serta pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pelajar, yang diadakan sejak Disember lalu.

 Meja rundingan yang diadakan itu dilaksanakan susulan keputusan kerajaan pada 7 Disember lalu yang menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji berjadual (PGB). – BERNAMA