PTPTN perlu fikir cara baharu, bukan kitar semula idea BN

PTPTN perlu fikir cara baharu, bukan kitar semula idea BN

Pemuda AMANAH Kelantan sangat kesal dengan idea dangkal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disidangkan kepada media dan rakyat tempoh hari.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, PTPTN sepatutnya memikirkan cara baharu yang lebih mesra rakyat bagaimana untuk menjana pembayaran balik pinjaman dari para peminjam.

Bukannya sekadar kitar semula idea yang sudah jelas dan terang ditolak rakyat, ujarnya.

“Konsultasi apa lagi yang ingin PTPTN buat sedangkan idea itu secara lantang dan kasar bertentangan dengan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

“Malah idea sebegini tidak sepatutnya menjadi paksi kajian lagi dan perlu disaring mentah tanpa perlu dibincang dan difikir panjang oleh pemuka-pemuka PTPTN,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, ketika Tun Mahathir dan para Menteri berhempas pulas meringankan beban rakyat dan selanjutnya membina sokongan bertambah bagi Kerajaan PH, tindakan PTPTN mendedahkan kajian simplistiknya hanya menyumbang kepada pandangan tidak elok rakyat kepada kerajaan.

Pemuda AMANAH Kelantan menegaskan jika para pemuka PTPTN tidak mampu memikirkan idea baru selain dari idea kitar semula rejim Barisan Nasional (BN), maka wajar saja mereka lepaskan jawatan mereka dan kerajaan perlu segera mencari pengganti yang mampu berfikir demi rakyat terbanyak,” kata beliau.