PTPTN sedia pertimbang rayuan peminjam

PTPTN sedia pertimbang rayuan peminjam

Selepas menerima kritikan banyak pihak selepas pengumuman semalam mengenai pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akhirnya memberi reaksi.

Menurut Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, PTPTN sedia memberi pertimbangan kepada rayuan sambil menegaskan peminjam sebenarnya bersetuju untuk membuat pembayaran balik mengikut sebarang skim yang ditetapkan sejurus menandatangani perjanjian dengan PTPTN.

Beliau juga memberitahu mekanisme PGB mulai Januari 2019 itu tidak bercanggah dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani.

“Saya mendengar kegusaran mereka dan saya bersedia mempertimbang rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas.

“Saya ingin nyatakan bahawa, melalui perjanjian yang mereka tandatangani tersebut, peminjam telah pun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan dan cadangan yang diberi semua pihak susulan pengumuman semalam.

Wan Saiful berkata, terdapat peruntukan dalam Akta PTPTN 1997 yang memberi kuasa kepada perbadanan untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

“Ada yang memberi komen mengenai kuasa majikan untuk membuat potongan gaji.

“Seksyen 29 Akta PTPTN 1997 memperuntukkan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

“Maka, peruntukan undang-undang itu ada,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu.

Menurutnya, kerajaan mempunyai pilihan sama ada mahu memberi keutamaan kepada peminjam hari ini atau memastikan kelestarian PTPTN supaya jutaan anak kecil hari ini mempunyai dana untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi pada masa akan datang.

“Ini bukan keputusan mudah kerana ia membabitkan dua kelompok yang mempunyai keutamaan yang berbeza.

“Keputusan kerajaan ini saya yakin akan memastikan bahawa PTPTN lestari demi kebaikan anak anak kita,” tambah Wan Saiful.

Semalam, PTPTN mengumumkan peminjam yang bekerja dan berpendapatan lebih RM2,000 sebulan tidak akan terlepas daripada membayar balik pinjaman apabila skim PGB dilaksanakan tahun depan.

PTPTN akan berhubung terus dengan majikan yang akan menolak gaji pekerja yang mempunyai pinjaman PTPTN secara mandatori, sekali gus mengeluarkan arahan kepada majikan untuk membuat potongan gaji mengikut peratus yang ditetapkan dalam skim PGB.