PTPTN sumbang RM492,000 pelajar di Kedah

PTPTN sumbang RM492,000 pelajar di Kedah
Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika menyampaikan sumbangan akuna SSPN dalam program Jelajah SSPN 2019 yang diadakan di Kedah.

Rakyat negeri Kedah bertuah kerana PTPTN akan memberikan sumbangan berjumlah RM492,000 kepada seramai 4,920 pelajar daripada 36 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 15 kawasan Parlimen dalam negeri Kedah.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semasa majlis pelancaran program jelajah SSPN 2019 di Alor Setar pada Sabtu .

Jelasnya lagi, setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah serta Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Menurut beliau, selain untuk membantu golongan asnaf yang terlibat, ia juga merupakan satu galakan untuk memulakan penabungan.

“Ibu bapa boleh memanfaatkan sumbangan tersebut sebagai titik permulaan untuk terus menabung demi masa depan anak-anak.

“Kerajaan Negeri Kedah akan menyalurkan bantuan dan kerjasama yang padu kepada PTPTN untuk menjayakan hasrat PTPTN agar lebih ramai ibu bapa menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Pelbagai program yang telah diadakan oleh PTPTN di negeri Kedah akan terus diberi dokongan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Tegasnya, adalah difahamkan kerajaan negeri Kedah telah menyediakan sumbangan dalam bentuk akaun SSPN kepada anak kelahiran baru di Kedah dibawah program Skim Insentif Kelahiran Anak (IKA) mulai 2015 hingga 2018.

Sehubungan itu katanya, sumbangan sebegini akan diteruskan demi kepentingan generasi baru.

“SSPN perlu menjadi pilihan utama kerana ia meningkatkan kesedaran dikalangan ibu bapa untuk membuat perancangan awal kewangan bagi pendidikan tinggi anak-anak.

“Ia juga bagi memastikan pelajar-pelajar dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa mempunyai masalah kewangan kerana telah mempunyai tabungan masa depan.

“Selain itu ia turut mengingatkan bahawa penabungan dari awal adalah penting bagi keperluan masa depan berbanding membuat pinjaman pendidikan, ” tambahnya lagi.