PTPTN umum kaedah langsai hutang bulan depan

PTPTN umum kaedah langsai hutang bulan depan

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan memberitahu kaedah pembayaran balik pinjaman yang tidak membebankan peminjam daripada golongan berpendapatan rendah akan diumum pada bulan depan.

Menurutnya, pengumuman itu akan dilakukan selepas menerima maklumat terperinci berhubung peruntukan yang diberikan dan dasar-dasar yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2019 sebelum merangka sebarang kaedah pelaksanaan.

Selain itu, jelasnya, sesi pertemuan dengan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas juga akan diadakan.

“Dalam ucapan Belanjawan 2019 telah pun diumumkan beberapa langkah yang berkait dengan PTPTN dan apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan itu perlu diberikan perincian.

“Ini termasuk apa yang dikatakan bayaran balik berdasarkan potongan gaji dan pelepasan cukai pendapatan bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), perinciannya perlu ada.

“Oleh itu, mekanisma ini yang akan diumumkan pada bulan hadapan,” katanya hari ini dipetik dari Utusan Online.