Malaysia Dateline

PTPTN usaha tarik lebih ramai majikan bantu pekerja bayar pinjaman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melipatgandakan usaha bagi menarik lebih ramai majikan membantu pekerja mereka membayar tunggakan pinjaman berkenaan pada masa akan datang, kata Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, usaha itu termasuk memperkemas maklumat tepat dan jelas kepada majikan khususnya berkaitan pelepasan cukai yang diberikan kerajaan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Setakat ini secara purata, jumlah majikan yang membayar tunggakan pinjaman pekerja mereka sangat rendah iaitu hanya enam majikan melibatkan 10 peminjam atau pekerja dengan jumlah bayaran yang dijelaskan RM97,873.59.

“Perkara ini masih baharu dan maklumat berkaitannya dalam kalangan majikan amat rendah terutama pelepasan cukai yang mereka peroleh sekiranya membayar tunggakan pinjaman pekerja masing-masing.

“Jadi kita dalam proses untuk berkempen agar lebih ramai majikan dapat terlibat dalam usaha ini terutama membantu pekerja mereka yang berpendapatan rendah untuk membayar pinjaman PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat Melaka  pada Ahad.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban pekerja dalam aspek pembayaran semula pinjaman PTPTN mereka tetapi ia dapat memberi motivasi kepada pekerja terlibat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada majikan dan syarikat.

Terdahulu, PTPTN turut memberikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 240 pelajar asnaf di enam kawasan Parlimen di Melaka melalui peruntukan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM24,000.

Program Jelajah SSPN yang bertujuan untuk membuat hebahan kepada masyarakat berkaitan budaya penabungan bagi pendidikan tinggi, berlangsung selama dua bulan mulai bulan lepas membabitkan 12 lokasi di Semenanjung, 11 lokasi di Sabah dan 10 di Sarawak– BERNAMA