Seorang pendakwah bebas tampil menegur tindakan pelakon Indonesia, Jefri Nichol yang dilihat memeluk seorang peminat wanitanya dan mengusap perut wanita itu.
Di Instagram, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, menormalisasi dosa adalah apabila kita buat dosa tetapi tidak berasa apa-apa.
“Sama seperti yang berlaku kepada artis ini dan juga peminat dia apabila berpegangan dan menggosok perut.
“Peminat pula lebih-lebih, siap peluk artis kesayangan,” katanya.
PU Syed turut mengingatkan kekasih Ameera Khan itu tentang batas pergaulan seorang muslim yang perlu dituruti.
Katanya, hidup sebagai umat Islam ada batasan yang perlu dipatuhi.
“Nasihat kepada Jefri Nichol, awak kena jaga tatasusila, kita ini orang Islam. Kena berhati-hati,” katanya lagi.
PU Syed menggesa pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan satu garis panduan berkenaan perkara larangan dalam Islam sebagai rujukan.
Ia supaya mereka tidak terjerumus dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang kafir.
“Gaya hidup sudah tak seperti orang Islam, ini masalah besar dan perlu beri peringatan,” kata beliau.
Dalam pada itu, PU Syed menasihati para artis supaya menjaga tingkah laku mereka agar tidak melanggar syariat agama.
“Peringatan juga harus diberikan secara tegas kepada para artis supaya menjaga tingkah laku mereka kerana mereka diminati ramai.
“Jangan mudah melakukan perkara yang boleh mendatangkan dosa,” jelasnya.
Baca juga: “Segala benda aku yang tanggung, lepas kahwin baru kantoi suami habiskan RM500 sebulan untuk…”