Malaysia Dateline

Puad anggap Ismail tidak bebas urus negara jika ‘dipaksa’ lantik Mahiaddin

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat dakwaan Shahidan Kassim bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan PN adalah betul.

Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, dakwaan Shahidan itu semakin betul kerana Mahiaddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Walhasil balik asal. Bagaimana Muhyiddin terlantik? Apakah dia menekan Ismail Sabri?

“Atau Ismail Sabri lantik dengan sukarela kerana percaya Mahiaddin bukan Perdana Menteri gagal sebelumnya?” soalnya.

Beliau menyifatkan Ismail akan jadi Perdana Menteri “terkawal” dan merelakan kerajaan PN 2.0 sekiranya dipaksa kerana syarat sokongan Bersatu.

“Apakah Majlis Pemulihan Negara mempunyai bidang kuasa yang besar? Pasti akan ada “term of reference” yang menjadikannya lebih “berautoriti”.

“Kalau itu dibenarkan, Ismail Sabri tidak akan ada kebebasan mengurus negara. Politiking akan berterusan. Tiada kestabilan,” kata Puad.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 September lalu memutuskan pelantikan Mahiaddin
sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, pelantikan bekas Perdana Menteri ke-8 itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, Puad menganggap pelantikan Mahiaddin itu juga menyelamatkan Bersatu.

“Parti itu (Bersatu) kembali kuat dalam kerajaan. Bersatu ada ruang tawar-menawar untuk mengikat Umno dalam agihan kerusi untuk PRU-15.

“Itu satu isu. Isu besar sekarang ialah imej gagal Mahiaddin akan menghantui kerajaan baru Perdana Menteri kesembilan.

“MKT Umno sudah mengingatkan, jangan dihidupkan imej kerajaan PN 2.0,” tegas Puad lagi.