Puad gesa Isa, Zakaria letak jawatan dalam FGV

Puad gesa Isa, Zakaria letak jawatan dalam FGV

Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Abdul Samad dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad yang terbabit dalam krisis Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) perlu meletak jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pertelingkahan yang menjadi peperangan terbuka antara Isa dan Zakaria begitu mendukacitakan dan memalukan kerana amat ketara tiada langsung musyawarah sesama mereka.

Katanya, mereka tidak perlu menunggu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, sebaliknya mengambil jalan mengalah dengan meletak jawatan segera.

“Mana mungkin mereka boleh bekerjasama selepas ini. Apakah ia akan menjadi fenomena berterusan dalam pengurusan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu?.

“Apakah selepas ini akan ada lagi episod pertelingkahan antara Pengerusi dan CEO atau Ketua Pengarah menyebabkan salah satu daripadanya dipaksa mengambil cuti atas alasan untuk siasatan dalaman yang sebenarnya proses pemecatan atau disuruh meletak jawatan?.

“Sewajarnya kedua-dua mereka meletak jawatan secara sukarela. Ambil jalan yang lebih bermaruah. Biarkan muka baharu dan tenaga baharu mengambil alih dan meneruskan usaha agar FGV menguntungkan pemegang sahamnya terutama peneroka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Krisis FGV menjadi semakin meruncing apabila empat pengurusan kanan syarikat itu dan anak syarikatnya termasuk Zakaria dipaksa bercuti berkuatkuasa serta-merta, semalam.

Tiga lagi adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.