Malaysia Dateline

Puad minta Mahiaddin dedahkan kos beli perabot baru Seri Perdana

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Dr Puad Zarkashi meminta Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mendedahkan kos sebenar pembelian perabot baru di Seri Perdana.

Selain diminta mendedahkan kos perabot, Puad juga meminta bekas perdana menteri itu juga mengumumkan nama kontraktor yang mendapat tender tersebut.

“Kalau Muhyiddin gentleman dedahkanlah kos beli perabot baru. Umumkan juga siapa kontraktornya. Tender terhad atau direct nego?” kata Puad.

Terdahulu, facebook Otai difahamkan telah mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kerosakkan yang berlaku di Seri Perdana.

Bagaimanapun, menurut Puad, Najib Tun Razak sudah lama tidak mendiami kediaman rasmi Perdana Menteri itu sejak tahun 2018.

“Page “OTAI” adalah pencacai PN. OTAI turut tumpang semangkuk pertahankan Muhyiddin kerana belanja RM38.5 Juta untuk baik pulih Seri Perdana.

“Otai tular gambar air bertakung di lantai Seri Perdana. Itu gambar bulan November 2020 akibat hujan lebat. Hujan lebat punya pasal Najib juga yang salah? Najib tidak duduk situ sejak 2018. Ada tahu tak?” bidas Puad.

Menurut Puad, semua Perdana Menteri yang pernah duduk di Seri Perdana mesti ada perabot milik sendiri sama ada Tun Mahathir atau Abdullah Ahmad Badawi sudah pasti akan membawa keluar perabot mereka apabila tidak lagi duduk di Seri Perdana.

“Baik Menteri atau Pegawai tinggi Kerajaan yang tinggal di kuaters kerajaan sudah tentu akan beli perabot tambahan.

“Apakah perabot itu akan ditinggalkan secara percuma,” kata beliau.

Ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri Seri Perdana menjadi perbualan hangat sekarang ini apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) mendedahkan kos ubah suai bukanya RM30 juta sebagaimana didakwa sebaliknya RM38.5 juta.

Perbelanjaan itu menimbulkan persoalan ramai pihak termasuk Ahli Parlimen kerana ia dikatanya jumlah yang tinggi di saat rakyat sedang kesempitan wang kerana pandemik Covid-19.