Malaysia Dateline

Puad perli Azmin sebut enam kali tentang wajah tidak jelas

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Puad Zarkashi tampil menyindir bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan menyertai Bersatu secara sah pada 22 Ogos ini.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu menyebut sebanyak enam kali perkataan ‘wajah’ dalam satu hantaran di Facebook hari ini termasuk ‘wajah sebenar’, ‘wajah tidak jelas’ dan ‘wajah masih kabur’ berhubung penyertaan Azmin dalam Bersatu.

Puad menyifatkan Azmin baru sekarang berani menunjukkan wajahnya yang sebenar bahkan pada zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahli Parlimen Gombak itu semakin untung kerana dilantik Menteri Kanan walaupun tidak berparti.

“Di zaman PH, kumpulan Azmin yang tidak sehaluan dengan partinya dapat empat jawatan Menteri manakala yang pro Anwar cuma dapat tiga jawatan Menteri.

“Azmin nampaknya sentiasa untung bila wajahnya tidak jelas.

“Tetapi apabila menyertai Bersatu, barulah wajah Azmin nampak jelas. Cuma bila wajah sudah jelas, bolehkah Azmin menang lagi di Gombak?” sinisnya.

Puad dipercayai merujuk sebuah kes video intim yang tular tahun lalu dan dikaitkan dengan Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Bagaimanapun, Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Tommy Thomas memutuskan tiada pertuduhan yang boleh dibuat berhubung dengan kes video seks itu.

Tommy pada awal tahun ini memberitahu PDRM juga gagal untuk mengenal pasti individu dalam video itu disebabkan resolusi rendah dan kualiti video serta rangka tidak jelas yang membawa kepada dapatan tidak konklusif.

Selanjutnya, Puad berkata kemasukan Azmin dalam Bersatu sekali gus menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Ikutlah peribahasa, ‘masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak.’

“Jangan nak mengaum pula macam harimau. Rakyat nampak wajah sebenar Azmin. Ketua Polis Negara sahaja yang kata wajah Azmin masih kabur,” perli Puad lagi.