Malaysia Dateline

Puad tanya mana duit MPN yang dibelanjakan oleh Mahiaddin…

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan ke manakah perginya peruntukan beratus juta Ringgit untuk Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno difahamkan bahawa Pengerusi MPN, Tan Sri Mahiaddin Yassin telah menerima peruntukan khas tersebut daripada Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Difahamkan semasa menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Mahiaddin menerima peruntukan khas beratus juga ringgit daripada peruntukan Perdana Menteri ketika itu.

“Persoalannya ke mana duit itu dibelanjakan,” soal beliau.

Puad Zarkashi turut mempersoalkan adakah dibelanjakan untuk parti Bersatu sahaja atau perkara lain.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut berharap agar Muhyiddin tampil memberi penjelasan dan turut menggesa Jabatan Audit Negara membuat pendedahan.

“Semoga Muhyiddin tampil perjelaskan. Elok juga Audit Negara buat pendedahan.

“Kalau betul, patutlah kewujudan MPN tidak berkesan. Membazir duit rakyat dan jadi alat politik. Ini belum cerita pasal RM92 Bilion. Mengejutkan,”ujar beliau.

Pada September 2021, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Pelantikan berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.