Malaysia Dateline

Puad Zarkashi antara nama disebut jadi MB Johor

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang juga pemenang DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, antara nama yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Johor ke-19.

Difahamkan, majlis angkat sumpah Menteri Besar dijangka diadakan petang ini dengan pintu utama dan belakang Istana Bukit Serene di Johor Bahru dikerumuni pengamal media seawal jam 10.30 pagi tadi.

Semalam, Datuk Seri Hasni Mohammad dilapor mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Puad Zarkashi antara nama disebut jadi MB Johor
Hasni Mohammad

Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu yang mempertahankan kerusi DUN Benut seolah-olah mengesahkan cakap-cakap bahawa nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Malah, sejak petang semalam tersebar khabar angin bahawa Hasni tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Nama yang turut disebut-sebut dilantik adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas Exco Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang DUN Machap.

Walau bagaimanapun, sejak malam tadi dilihat tanda pagar #hasni4mbj (Hasni For Menteri Besar Johor) berserta poster mula sohor kini di laman sosial terutama akaun Facebook dan Twitter pemimpin dan penyokong BN.

Bahkan, akaun Facebook rasmi Umno Johor turut memuat naik poster Hasni dengan tanda pagar #hasni4mbj.