Puad Zarkashi letak jawatan KP Jasa hari ini

Puad Zarkashi letak jawatan KP Jasa hari ini

Datuk Dr  Mohd Puad Zarkashi meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dipercayai ada kaitan dengan namanya tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam entri terbaharu di Facebooknya, beliau memaklumkan, hari ini merupakan hari terakhirnya di Jasa dan beliau tidak berganjak dengan keputusan itu. Beliau turut menaikkan beberapa keping gambarnya bersama kakitangan Jasa dalam satu sesi taklimat akhir beliau.

“Alhamdulillah hari ini hari terakhir saya di Jasa. Saya tidak mengubah keputusan untuk meletak jawatan. Memang, ramai juga yang akan mengutuk saya (tetapi) saya tetap tabah. Berakhirlah riwayat saya di Jasa,” katanya hari ini

Nama Mohd Puad yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu pada PRU-14 dan digantikan dengan Ketua Wanita Umno bahagian berkenaan, Haliza Abdullah.

Beliau turut berkata, Jasa adalah tempat ‘panas’ sehingga DAP membawa usul ke Parlimen di sidang Parlimen terakhir awal tahun ini supaya Jasa dibubarkan. Sebelum ini dalam bajet Pakatan Harapan mereka mencadangkan supaya Jas ditutup sahaja walaupun katanya, Jasa banyak menabur bakti dan jasa di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“PRU 2004 nama saya langsung tidak tersenarai walaupun ketika itu saya adalah Timbalan Ketua dan Setiausaha Politik Menteri Besar Johor (Tan Sri Abdul Ghani Othman). Saya juga meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik serta merta. Tetapi saya juga tidak lari.

“PRU 2013 saya kalah kerana tsunami Cina. Ramai tokoh lain juga kalah tetapi mereka tetap dapat bertanding kali ini. Saya juga tidak lari.

“Pada PRU 2018 ini, saya digugurkan dalam tempoh 24 jam setelah menerima panggilan dan sebelumnya ditemui oleh Tan Sri FatmiSalleh yang mengesahkan pencalonan saya. Pengguguran saya berlaku tanpa perundingan walaupun saya adalah ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua pengarah JASA dan ketua bahagian,” ujarnya.

Beliau turut mendakwa sistem pemilihan calon BN kali ini adalah rosak dan ‘corrupted’ apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau digugurkan kerana berlaku kerosakan sehingga sokongan terhadap BN merosot di Parlimen Batu Pahat.

“Bagaimana dikatakan berlaku kerosakan sedangkan Umno Batu Pahat berjaya menambah dan memindah pengundi hampir 7,000 orang sehingga menyebabkan Parlimen Batu Pahat menjadi top five pertambahan tertinggi pengundi Melayu di Johor.

“Apakah saya akan dikenakan tindakan disiplin kerana menjawab komen TPM secara terbuka?Kalau begitu kenapa bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang membawa usul supaya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dipecat sebagai MB tidak dikenakan tindakan dan dicalonkan semula.

“Memang sistem kita rosak sehingga calon tidak bermoral dipilih. Calon yang tidak membantu parti juga terpilih.Walaupun mempertahankan kerajaan melalui JASA seperti tidak berbaloi tetapi meletakan jawatan adalah langkah terbaik.

Terima kasih kepada seluruh staf JASA kerana bekerja sama dengan saya siang dan malam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan dedikasi.

“Maafkan saya kerana memimpin JASA dengan cara yang keras dan tegas. Allah juga yang akan membalas pengorbanan anda semua.
Until I Win.,” ujarnya.