Malaysia Dateline

Puan Sarinun sebak dapat rumah baru menjelang Ramadan

Puan Sarinun Ahmad yang tinggal di kawasan Kota Raja hari ini sebak apabila menerima surat pemilikan rumah baru daripada Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu.

Beliau yang tinggal di atas tanah milik kerajaan lebih tiga tahun itu melahirkan rasa bersyukur kerana dapat pindah ke rumah baru menjelang Ramadan ini.

Mohamad Sabu menyerahkan surat pemilikan rumah baru kepada Puan Sarinun

“Syukur Alhamdulillah, dan terima kasih kerana menyediakan rumah kepada kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Suami Puan Sarinun merupakan seorang OKU dan beliaulah yang membanting tulang bagi meneruskan kehidupan mereka sekeluarga.

Menurut Sarinun (gambar) rumah yang mereka duduk pada hari ini dibina mengikut keperluan yang ada asalkan beliau dan anak-anaknya dapat berteduh.

Keadaan rumah Puan Sarinun yang kecil tidak selesa untuk didiami

“Kami bina rumah ini sikit-sikit, tambah sana sini untuk kami sekeluarga dapat berteduh,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau dijadualkan akan berpindah ke rumah baharu pada 8 April Khamis ini, dan akan diberikan pengangkutan perpindahan secara percuma oleh syarikat pemaju dan Pusat Zakat Selangor.

Terdahulu, Mohamad Sabu dengan kerjasama Pemaju Selaman Sejati serta Pusat Zakat Selangor menyerahkan surat pemilikan rumah baru dan pengangkutan perpindahan percuma kepada Mohd Shamer Alias yang mempunyai 18 adik beradik dan Puan Sarinun sekeluarga.

Pada hari ini juga, Mohamad Sabu bersama Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Hasnul Baharuddin turut mengedarkan ayam dan sayur percuma di Seri Jugra Banting Selangor.

Keluarga Sarinun dan Shamer Alias akan berpindah ke rumah Selangorku yang tidak jauh dari rumah asal mereka secara percuma.