“Puas hati tengok!”- netizen puas tengok kereta gagal lepasi palang ketika cuba elak bayar tol

Oleh KIM SYAZIE

Satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang menunjukkan kegagalan sebuah kereta membolosi lorong tol secara haram, mengundang rasa ‘puas’ dalam kalangan pengguna media sosial.

Rakaman yang tular sejak semalam itu menunjukkan sebuah kereta mewah yang tidak dapat dikenalpasti cuba melepasi tol dengan mengikut rapat kereta di hadapan.

Bagaimanapun ia disedari awal oleh pemilik dashcam, @fizazzul yang kemudian segera bertindak memberhentikan kenderaan di lorong tol sambil cuba memanggil pegawai keselamatan yang ada di sekitar.

Fizazzul juga menjerit memberitahu kepada pengawal di situ bahawa pemandu di belakangnya tidak mahu bayar tol.

Tindakannya itu membuahkan hasil apabila individu dari kereta di belakang cuba membuka pintu kenderaan, namun Fizazzul terus memecut laju meninggalkan kereta tersebut yang akhirnya tidak berjaya melepasi palang tol.

Tindakan berani Fizzazul membuatkan netizen ‘bertepuk tangan’ kerana berjaya beri pelajaran kepada mereka yang sengaja tidak mahu membayar tol.

Video yang dikongsikan itu membuatkan ramai puas hati selain berharap lebih ramai lagi pemandu yang enggan bayar tol, berhadapan keadaan serupa.

“Mesti sakit hati dia kan.. baru nak turun, terus brother tu blah, lepas tu palang tertutup. Mesti tak lena tidur tu satu malam duk memikirkan hati yang sakit,” seloroh pengguna Facebook, Mael.

“Walaupun berbahaya, sekali sekala memang kita perlukan ‘The Punisher’ style macam ini. Pastikan anda bukan kosong-kosong sebelum buat ya,” komen pula pengguna Facebook Nur Afizul.

Baca juga: Dilema Penjaja Tepi Jalan Di Kampung Baru, Dihimpit Modal Kecil Tapi Barang Mahal