Puasa basmi amalan rasuah

Puasa basmi amalan rasuah

Setahun berlalu kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kemenangan yang tercetus daripada pilihan dan kesedaran rakyat yang mahukan perubahan.

Antara perkara besar yang dilakukan PH setelah menang ialah membongkarkan amalan rasuah dalam instituisi dan organisai kaitan kerajaan.

Rasuah sesungguhnya adalah ‘tragedi kemanusiaan’ yang maha dahsyat. Tidak hanya bagi negara kita Malaysia tetapi juga bagi seluruh umat manusia. Rasuah adalah dehumanisasi yang ternyata telah merosak peradaban kita malah boleh menjual negara juga.

Rasuah yang secara etimologi berakar daripada perkataan corruption (Inggeris), korruptie (Belanda), atau corrumpere (Latin), membawa maksud kebusukan, keburukan, kebejatan, ketidakjujuran, penyuapan, penggelapan. Lebih buruk lagi rasuah telah menjadi budaya dan mencandui negara ini.

Lantas apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri beliau membina semula jentera kerajaan dan menggugurkan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang secara terang-terangan dan secara terbuka memberi sokongan politik kepada Barisan Nasional – parti gabungan yang telah memerintah Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957. ?

“Dengan adanya rasuah, negara tidak boleh membangun seperti sepatutnya. Jenayah ini merencatkan pembangunan dan memberikan kesan negatif seperti peningkatan kos sara hidup dan kos untuk melaksanakan sesuatu usaha juga turut meningkat,” jelasnya.

Dalam Islam, puasa (ashshaum) dilakukan pada bulan Ramadan yang secara lughawi bermaksud membakar. Sedangkan puasa (shaum), secara syar’i, bermakna sengaja menahan diri dari sesuatu yang membatalkannya, mulai dari terbit fajar sampai terbenam matahari, dengan niat dan syarat tertentu.

Oleh itu dalam bulan yang bernama Ramadan ini, umat Islam harus belajar menjaga dan mengendalikan diri, membakar segala gejolak nafsu rendah agar menjadi peribadi-peribadi yang bertakwa (la’allakum tattaquun).

Umat Islam diajarkan untuk bermetamorfosis, dari ulat yang rakus menjadi kupu-kupu indah dan mencerahkan.

Daripada manusia yang dipenuhi syahwat dunia menjadi sosok hamba yang membawa rahmat bagi seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin) dengan cahaya iman dan takwa.

Nafsu korup yang banal dan serakah cuba dikendalikan dan dijinakkan melalui amalan puasa.

Apabila suasana keagamaan yang khusyuk, rasa lapar yang menghadirkan empati, akan membawa kita pada kesalehan sosial sekaligus kesedaran bahawa manusia sekadar hamba yang setiap jengkal perilakunya akan dituntut untuk dipertanggungjawabkan. Di dunia, hukum manusia dapat dirancang dan dimanipulasi untuk melepaskan diri.

Tetapi, pengadilan Tuhan tidak boleh didustakan. Islam sesungguhnya mengharamkan menerima suap, komisyen dan tumbuk rusuk,apalagi pemberian wang yang kononnya diberi sebagai tanda persahabatan.

Sesuatu yang munafik apabila ada hamba yang mengaku beriman masih tetap melakukan kegiatan rasuah di bulan yang suci ini.

Rasuah barangkali tidak membatalkan puasa, namun ia pasti akan merosak puasa kita sehingga menjadi tabir penghalang untuk kita menjadi orang yang bertakwa (muttaqien).

Adalah suatu kepelikan malah sesuatu yang memalukan, Malaysia dengan majoriti umat Islam adalah negara yang sarat dengan amalan rasuah. Padahal, setiap tahun selama sebulan penuh kita dan juga ahli politik dan pentadir dilatih menahan diri dan mengasah jiwa melalui ibadah puasa.

Oleh itu apakah gerangan yang salah dengan puasa umat Islam di negaria ini. Bukankah puasa adalah perancangan Allah untuk mengembiri nafsu duniawi dan mengokongkan diri daripada tabiat dan perilaku negatif?

Realitinya, umat Islam tidak menghayatinya kerana kegemaran melakukan rasuah yang menawan diri mereka bahkan terus bertumbuh subur di negara ini.

Jawabannya tentu bukan salah syariat kerana puasa sangat membenci mereka yang melakukan rasuah.

Itulah yang dimakudkan ibadah puasa sudah dicemari dengan rasuah itu dengan perilaku tamak dan haloba, mementingkan diri. Apabila ibadah puasa sudah dicemari dengan nilai rasuah makan lahirlah ahli politik dna pentadbir yang korup fikiran dan prinsip hidup.

Puasa hanya mainan munafik dan sekadar amalan ritual. Mereka berselindung di sebalik jubab atau pakaian baju Melayu.

Apabila mereka memasuki masjid atau surau, seolah-olah berada di bawah naungan ALLah dan menghidupkan etika Ramadan dalam bersolat terawih, tadarus dan berdoa.

Setelah keluar masjid dan apabila telah minum teh tarik, dia akan mula menghisap rokok atau membincang perkara yang di luar aspek kesucian dan menjadi perasuah dalam kehidupan.

Mereka sekadar lapar dan dahaga tetapi tidak menghayati hakikat puasa iaitu rawatan batin dan kerohanian diri dan mengawal nafsu shahwat.

Imam Al-Ghazali dalam Ihya ’Ulumuddin berkata itulah adalah puasanya orang awam (shaumul ’aam).

Berpuasa, tetapi masih gemar berbohong, berdusta, kong-kalikong padahal yang jelas rasuah adalah musuh semua agama.

Barangkali inilah wajah puasa mayoriti umat Islam di negara ini .Akibatnya, kita seringkali gagal memahami esensi dan hikmah berpuasa, apalagi membumikannya dalam hidup keseharian.

Meminjam Sabda Rasulullah saw, betapa banyak orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa pun, melainkan lapar dan dahaga.

Jika seorang hamba berusaha mengawal dan mengendalikan syahwat dan hawa nafsu, dan berupaya untuk lepas dari keinginan-keinginan diri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah, ini bermaksud seorang hamba sedang ‘mengosongkan diri’ daripada sisi negatif hati dirinya

Dia menafikan segala keinginan yang ada dalam dirinya, selain yang sesuai dengan kehendak Allah. Dia berupaya agar dalam dirinya tidak ada apapun selain Allah dan kehendaki Allah atau yang Allah redhai. Dengan kata lain, dia sedang berupaya untuk ‘mengosongkan dirinya’ daripada selain Allah.

Akibatnya, kita terjebak dalam gempita ritualiti semata, namun gagal beroleh lautan hikmah darinya.

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.