Public Investment kekalkan saranan ‘berprestasi tinggi’ ke atas Mega First

Public Investment kekalkan saranan ‘berprestasi tinggi’ ke atas Mega First

Public Investment Bank mengekalkan saranan ‘berprestasi tinggi’ ke atas Mega First Corporation Bhd dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM4.74 susulan prospek jumlah jualan yang lebih baik.

Firma penyelidikan itu berkata turbin projek kuasa hidro Don Sahong Mega di Laos, akan menjana aliran air pada kadar 600 meter padu/saat, dengan kadar penggunaan purata antara 89 dan 90 peratus, yang merupakan antara tahap tertinggi di dunia.

Berdasarkan anggaran pendapatan kami, projek tenaga hidro itu akan menyumbang jualan tahunan antara RM400 juta dan RM450 juta dan keuntungan sebanyak RM200 juta-RM260 juta sepanjang konsesi 25 tahun,” katanya dalam nota kajiannya hari ini.

Public Investment berkata loji kuasa hidro itu akan menghasilkan pengeluaran elektrik tahunan sebanyak 1,825 GWh atau 5,000 MW sehari, dan dijual kepada Electricite Du Laos (EDL) untuk kegunaan domestik. Jika ada tenaga elektrik lebihan, ia akan dijual kepada Kemboja.

Ia berkata EDL akan membayar Don Sahong mengikut ketersediaan tenaga dengan bayarannya dijamin oleh Kementerian Kewangan Laos.

“Syarikat itu akan memperoleh peningkatan keuntungan sekali dalam tempoh ujian enam bulan memandangkan tenaga yang dihasilkan, akan dijual terus ke EDL,” katanya.

Pada 11 pagi, saham Mega First di Bursa Malaysia naik lima sen kepada RM3.27 dengan 62,400 saham bertukar tangan.

— BERNAMA