Malaysia Dateline

Public Investment naikkan saranan TM kepada ‘beli dagangan’

Public Investment Bank Bhd menaikkan saranan saham Telekom Malaysia Bhd (TM) kepada “beli dagangan” dengan harga sasaran (TP) disemak semula pada RM3.60 daripada RM3.40 sebelum ini, berdasarkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan, dengan sumbangan pendapatan daripada segmen data dan Internet.

Katanya keputusan tahun kewangan suku ketiga 2018 TM sejajar dengan anggaran konsensus dan menaikkan unjuran tahun kewangan 2018-2020 pendapatan teras sebanyak enam hingga 10 peratus selepas mengambil kira pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) yang lebih tinggi bagi Unifi dan pendapatan data yang lebih tinggi.

“Susulan pelaksanaan Piawaian Mandatori berkaitan Harga Akses (MSAP), kami mengunjurkan pendapatan teras tahun kewangan 2018 merosot sebanyak 26 peratus tahun ke tahun disebabkan ARPU Unifi dan pendapatan daripada perniagaan borong yang rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, TM  boleh dikecualikan sebagai saham komponen FBM KLCI apabila FTSE Russell mengumumkan kajian semulanya pada bulan depan.

“Seperti yang dikatakan, kami percaya harga sahamnya telah mengambil kira semua berita negatif. Potensi pemangkin penarafan semula termasuk TM meneruskan langkah pengurangan kos yang boleh membawa kepada peningkatan margin yang lebih baik.

“Selain itu, berdasarkan penurunan pendapatan masa depan, perbelanjaan modal TM dijangka berkurangan dan ini akan membawa kepada caj susut nilai yang rendah pada masa akan datang,” menurut Public Investment Bank.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd mengekalkan saham TM sebagai ‘simpan’ dengan TP yang lebih rendah pada RM2.40 daripada RM3.70 sebelum ini, berikutan ia merangkumi pelan harga lebih rendah baharu dalam unjurannya.

Pada 11.01 pagi, harga saham TM susut satu sen kepada RM2.31 dengan 5.12 juta lot bertukar tangan.

— BERNAMA